Membaca Dan Mempelajari Hadis Juga Diberi Ganjaran Pahala
Sering kita dengar akan ganjaran buat mereka yang membaca Al-Quran. Kita sedar bahawa mereka yang membaca Al-Quran, memahami serta mengajarkannya kepada orang lain akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Orang yang mendengar bacaan Al-Quran pun turut diberi ganjaran pahala apatah lagi perbuatan yang lagi besar daripada itu.
Maksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarinya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 4639)
Al-Quran dan hadis merupakan dua peninggalan Rasulullah SAW kepada umatnya dan seluruh manusia. Barangsiapa yang berpandukan kepada kedua-dua kompas kehidupan ini, maka mereka tidak akan sesat.
Justeru, adakah ganjaran membaca hadis juga diberikan kepada mereka yang menuntut ilmunya?
Menurut penerangan yang diberikan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz – status orang yang membaca hadis adalah sama dengan orang yang menuntut ilmu.
Kita tahu bahawa penuntut ilmu itu merupakan orang yang mulia di sisi Allah. Justeru, dengan membaca hadis dan mendapat ilmu daripadanya juga akan diberi ganjaran pahala oleh Allah.
من سلك طريقاً يلتمس فيه علماً سهل الله له به طريقاً إلى الجنة
Maksud: “Barangsiapa yang menjalani jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4867)
Menuntut ilmu sama ada melalui Al-Quran, hadis dan juga ilmu fardu kifayah yang lain akan diberikan ganjaran pahala yang setimpal dengannya.
Sama ada hanya hanya membaca hadis untuk mengisi masa lapang di waktu PKP ini atau untuk memahami maksud ayat Al-Quran yang terkait dengannya, maka Allah tetap akan memberi ganjaran pahala.
Justeru, rajin-rajinkanlah diri anda menuntut ilmu baik daripada Al-Quran, hadis, kata-kata ulama dan banyak lagi jenis ilmu yang lain.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Muslim.or.id
No comments: