Kebaikan Itu Boleh Datang Dalam Pelbagai Bentuk
Kita dikhabarkan dengan berita-berita positif daripada rakyat Malaysia yang cuba membantu kerajaan dalam saat-saat genting seperti ini.
Ada yang cuba menghulurkan bantuan dana kepada pihak yang membuat kutipan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Ada juga pihak yang membantu mencipta alatan yang boleh memudahkan petugas barisan hadapan untuk meneruskan pekerjaan mereka dengan membantu menyediakan PPE dan sebagainya.
Tidak kurang juga ada yang memberikan sumbangan barang-barang asas kepada golongan yang memerlukan sesuai dengan kemampuan mereka.
Semua usaha murni ini mungkin dilihat kecil oleh mereka yang tidak berada dalam situasi itu, namun hakikatnya ia lebih besar untuk membantu insan lain menghadapi hari esok.
Jika hari-hari kita melihat petugas barisan hadapan bertungkus lumus mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa dan membuat yang terbaik bagi membendung wabak COVID-19 ini, kita juga perlu melihat akan usaha-usaha murni insan lain yang membantu rakyat.
Setiap orang diberi kemampuan dan kekuatan dalam diri mereka berdasarkan situasi mereka sendiri. Ada yang mempunyai wang untuk diberikan. Ada pula yang mempunyai tenaga untuk disumbangkan dan ada juga yang mempunyai ilmu untuk disalurkan.
Manusia itu saling melengkapi. Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri. Jadi, walau apa sahaja niat baik yang terlintas di hati anda, jangan takut untuk laksanakan.
Walau ia kelihatan kecil, namun hakikatnya besar di mata Allah dan besar juga harapan buat mereka yang memerlukan. Walau dengan nilai RM1, anda juga mampu membantu.
Begitu juga dengan doa. Ada yang tidak mampu memberikan apa-apa, namun hanya mampu berdoa agar semuanya berada dalam keadaan baik. Itu juga sebuah sumbangan yang besar nilainya.
Tidak semua orang mahu berdoa. Ada yang hanya berserah dan ada pula yang hanya mengikut aturan yang diberikan. Namun, doa itu sebenarnya merupakan sesuatu yang besar nilainya kerana ia adalah senjata orang-orang mukmin.
Justeru, walau apa jua kebaikan yang anda niatkan sama ada dalam bentuk wang ringit, tenaga mahupun doa, percayalah ia semua adalah besar sumbangannya.
Kerana kebaikan itu boleh datang dalam pelbagai bentuk.
Wallahu a’alam.
No comments: