Ads Top

Jangan Batalkan Pahala Dengan Mengungkit-Ungkit Pemberian

Apabila bergaduh atau wujud perasaan tidak puas hati terhadap seseorang, pasti akan terbit sekilas mengenai perkara baik yang pernah kita lakukan kepadanya atau mungkin juga teringat akan pemberian yang diberikan.

Maka, mulalah hati kita berperang dengan bisikan syaitan – “Dia ni langsung tak mengenang budi. Dulu, masa susah akulah yang sentiasa ada disisinya.”

Bukan sekadar di hati. Bahkan, ramai di antara kita hari ini yang melayan hawa nafsu tersebut dengan menzahirkannya di media sosial dan dijadikan modal untuk mengutuk orang tersebut.

Mulalah wujud pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang membangkang. Namun, ini bukan isunya. Yang menjadi persoalan sekarang ialah berkenaan perbuatan membangkit-bangkitkan kebaikan dan pemberian yang pernah dilakukan.

Tahukah anda, perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang dibenci dan boleh membatalkan pahala yang pernah dilakukan?

Kita sering dengar batalnya pahala puasa. Namun, sebenarnya wujud juga pembatalan pahala lain seperti dalam isu yang dibawakan di atas.

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah Al-Baqarah, 2:264)

Jumhur ulama menyebut, jika seseorang suka mengungkit sama ada dengan sebab riak, ingin menunjuk atau merendah-rendahkan seseorang, maka hukumnya adalah dilarang dan pahala kebaikannya adalah terbatal.

Bunyinya amat mengerikan kerana, bayangkan anda sudah berpenat lelah dan menghabiskan puluhan wang ringgit untuk amalan tersebut, namun sia-sia kerana tidak mendapat pulangan dalam bentuk saham pahala. Adakah ini yang anda mahukan?

Syeikh Muhammad bin Shalil Al-‘Utsaimin RA menyebut – “Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti dalam melakukan sedekah (pemberian) termasuk dalam dosa besar. Sisi pendalilannya kerana disebutkannya hukuman setelah menyebutkan dosa (tertentu) menjadikan dosa tersebut sebagai dosa besar.” (Tafsir Surah Al-Baqarah, Asy-Syamilah)

Namun, jika ungkitan tersebut adalah dengan tujuan pengendalian kes seperti kes mahkamah untuk menuntut hak-hak tertentu atau ungkitan seorang ibu kepada anak supaya anaknya kembali ke pangkal jalan, maka itu adalah dibolehkan dengan syarat si pengungkit tersebut tidak timbul rasa riak dan ujub.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id




No comments:

Powered by Blogger.