Ads Top

Mahasiswa Lapar? Ayuh Isi ‘Poket Pahala’ Kita

Cerita mahasiswa lapar memang sudah lama berlaku. Seingat saya pada tahun 2001 semasa baru mula berkerja di UIAM, saya bertemu seorang pelajar bekas negara Soviet yang tidak mampu hadir ke kelas. Apabila ditanya mengapa, jawapannya mengejutkan saya:

“Maaf Ustaz! Bukan aku tak mahu hadir ke kelas. Aku tak larat berjalan kerana lapar. Bantuan kewangan aku terputus kerana sedikit masalah.”

Saya percaya cakapnya kerana wajahnya lesu tidak bermaya. Alhamdulillah! Ada murid dewasa saya yang dermawan sudi membantu pelajar ini sehingga beliau akhirnya tamat belajar.

Apabila kita telusuri nas agama, kita akan menemui banyak saranan Allah agar kita memberi makan kepada yang memerlukan.

Di sini saya ingin berkongsi beberapa nas semoga ia mampu menjadi pendorong kita semua, firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Mereka juga memberi makanan yang disukainya, kepada orang miskin, anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. Surah al-Insan 76:8-9

Juga sabda nabi S.A.W seawal tibanya baginda ke Madinah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الْأَرْحَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ
“Wahai sekelian manusia, sebarkan (ucapan) salam, berilah makan (kepada yang memerlukan), sambunglah hubungan persaudaraan, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera.Sunan Ibn Majah

Juga hadith seorang pelacur diberi keampunan kerana memberi minum (makan) kepada anjing yang dahaga:

بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ
(Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Isra’il. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”Sahih al-Bukhari

Juga sebuah hadith lain:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ ، وَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ ، فَقَالَ : لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبُ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلَ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي ، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقَى فَسَقَى الْكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهَ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ ” . قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ لأَجْرًا ؟ قَالَ : ” فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Ketika seorang lelaki berjalan pada sebuah jalan dia berasa sangat dahaga. Dia menemui sebuah perigi lalu turun ke dalamnya dan minum. Setelah keluar dari perigi itu dia mendapati ada seekor anjing sedang terjelir sambil memakan tanah basah kerana dahaga yang amat sangat.

Lelaki itu berkata anjing itu berasa terlalu dahaga seperti apa yang pernah aku rasai. Dia pun turun ke dalam perigi, mengisi kasutnya dengan air lalu menggigit (kasut itu) dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas dan “memberi minum” (air itu) kepada si anjing. Allah memuji lelaki itu (kepada para malaikat) dan mengampunkan dosanya.

Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah adakah pada binatang pun ada peluang bagi kami mendapat pahala?” Rasulullah menjawab: “(Kebaikan) kepada setiap makhluk yang mempunyai hati yang basah (setiap makhluk hidup) memiliki ganjaran (pahala)”Sahih al-Bukhari dan Muslim

Ayuh kita bantu mereka yang lapar di dunia, semoga ia menjadi sebab kita kenyang berterusan di akhirat kelak.




No comments:

Powered by Blogger.