Fikir Sebelum ‘Kongsi’
Sebelum anda, orang dewasa menyebarkan video tembakan, pembunuhan dan apa sahaja bentuk kekejaman di media sosial tolonglah berfikir lebih jauh.
Ramai kanak-kanak kini memiliki akaun media sosial walaupun belum sampai usia 13 tahun. Ibu bapa mereka tidak memantau mereka.
Ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka menipu mengaku lebih tua dari usia, supaya mereka mendapat ‘sign up‘.
Jika mereka dibiarkan menipu, ataupun ibu bapa mereka tidak mengetahui dan tidak memantau, maknanya mereka juga bebas untuk berbuat apa sahaja ‘online‘ dan ‘offline‘ tanpa peraturan dan pemantauan.
Bayangkan kanak-kanak mentah tanpa pemantauan yang belum matang pemikiran, mental dan emosi ini, menonton video kekejaman yang dikongsikan oleh orang dewasa di Facebook, instagram, Youtube, Twitter, Whatsapp dan bermacam-macam platform lagi.
Mereka kemudiannya akan berkongsi sesama mereka pula. Kesannya sama ada ;
#1- Mengalami Trauma
Mereka mengalami trauma dan tekanan kerana adegan itu terlampau membebankan mental dan emosi rapuh mereka dan berterusan melekat dalam ingatan mereka.
#2- Menjadi Kebiasaan
Mereka menjadi lali, mencuba dan meniru kerana belum cukup akal untuk membuat keputusan.
Ketidakmatangan menyebabkan mereka tidak dapat membezakan baik dan buruk dan tidak dapat membezakan realiti dan fantasi. Tingkah laku kanak-kanak adalah tanggungjawab orang dewasa.
Apabila kanak-kanak dan remaja bawah umur yang sepatutnya masih dipantau bertindak ganas, agresif, kurang ajar, tidak berperikemanusiaan, membuli sehingga tahap mencederakan dan membunuh, orang dewasa di sekeliling mereka baik ‘online’ mahupun offline turut sama bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
Berfikirlah sebelum berkongsi elemen keganasan atau lucah kerana anda mempunyai ‘follower’ di kalangan kanak-kanak mentah. Ataupun anda tidak kisah masyarakat menjadi musnah?
It takes a village to raise a child
No comments: