Kisah Ajaib Tentang Istighfar
Ada dua perkara yang boleh menjauhkan kita daripada azab Allah di dunia:
Pertama adalah dengan adanya Rasulullah SAW. Namun Rasulullah telah lama meninggal dunia. Maka tinggal perkara yang kedua. Apakah itu? – Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum selama mereka meminta ampun kepada Allah.
Ketika zaman Imam Al-Basri masih hidup, beliau kerap didatangi oleh orang ramai untuk bertanya atau meminta sesuatu.
Pemuda pertama datang dan mengadu bahawa hujan sudah lama tidak turun. Imam Hasan Al-Basri menasihati supaya mengucapkan istighfar. Pemuda kedua datang dan mengadu bahawa kemiskinan telah menimpa mereka – tidak ada makanan dan tidak ada wang untuk berbelanja. Imam Hasan Al Basri menasihati supaya memperbanyakkan istighfar. Pemuda ketiga datang dan mengadu bahawa dia tiada anak, lalu nasihat yang sama masih diberikan iaitu memperbanyakkan istighfar.
Lalu orang ramai bertanya mengapa sekian banyak masalah yang diadukan oleh orang namun nasihat beliau masih sama iaitu memperbanyakkan istighfar. Lalu beliau menjawab bahawa itulah yang disebutkan oleh Allah dalam Al Quran tentang kelebihan istighfar.
“Maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh 71:10-12)
Ada juga cerita yang terkenal tentang Imam Ahmad bin Hanbal dengan seorang pembuat roti. Pada suatu ketika, Imam Ahmad merantau dari satu tempat ke satu tempat. Beliau tiba di sebuah bandar dan hari sudah malam. Imam Ahmad masuk ke dalam masjid untuk berehat namun dihalau oleh penjaga masjid. Berkali-kali beliau cuba menerangkan bahawa beliau hanya ingin berehat sejenak sebelum menyambung perjalanan keesokan harinya namun tidak dipedulikan.
Tiba-tiba ada seorang lelaki yang melihat kejadian itu menjemput Imam Ahmad (tanpa mengetahui siapakah Imam Ahmad) tidur di kedainya. Dia rupanya seorang pembuat roti. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut. Sepanjang malam ketika lelaki itu membuat roti, mulutnya tidak lekang daripada mengucapkan istighfar. Lalu Imam Ahmad bertanya,
“Sudah berapa lama engkau membiasakan diri mengucapkan istighfar”
“Sudah lama sekali aku mengamalkan istighfar”
Imam Ahmad lalu bertanya kembali:
“Adakah engkau mendapat sebarang manfaat daripada amalan istighfar tersebut”
“Ya, semua doaku ditunaikan Allah kecuali satu – iaitu doa untuk berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal”
Lalu Imam Ahmad berkata: Allah telah menggerakkan aku dari tempat tinggalku, datang ke tempat ini, kemudian dihalau dari masjid ke kedai roti kamu, semata-mata untuk menunaikan doamu itu.
Begitulah besarnya kuasa istighfar. Amalannya cukup mudah namun memberikan ganjaran yang sangat besar kepada para pengamalnya. Allah berjanji akan mengabulkan permintaan serta menambahkan nikmat kepada orang yang sentiasa mengamalkannya.
No comments: