Ads Top

Ucapan Terima Kasih Atas Kebaikan Orang, Tanda Syukur Kepada Allah

Saya percaya bahawa setiap orang mempunyai kebaikan yang terselit di hati walau siapa pun mereka. Ada orang yang mempunyai personaliti terbuka dan suka menyebarkan kebaikan kepada orang lain. Ada juga yang berpersonaliti ‘reserved’ atau lebih perahsia. Kebaikan biasa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Yang tidak nampak di mata tidak semestinya tidak ada, bukan?

Apa pun situasi dan bentuk kebaikan yang dilakukan, balasan paling tepat seharusnya diberikan kepada mereka sekurang-kurangnya ialah ucapan ‘terima kasih’ atau lebih baik lagi kita berazam untuk membalas kebaikan tersebut semula.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (HR. Abu Daud: No 4177) – Status Hadis Sahih di dalam kitab Silsilat Al Ahadis Ash Shahihah, 1/702)

Hadis di atas secara jelasnya menyuruh kita bersyukur kepada manusia, kerana ianya tanda kita juga bersyukur kepada Allah. Orang yang tidak berterima kasih atas kebaikan orang lain terhadapnya bermakna ia tidak bersyukur kepada Allah di atas limpah nikmat yang diperolehi.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَنْ أُعْطِىَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ بِهِ فَمَنْ أَثْنَى بِهِ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ كَتَمَهُ فَقَدْ كَفَرَهُ

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang diberikan sebuah hadiah, lalu ia mendapati kecukupan maka hendaknya ia membalasnya, jika ia tidak mendapati maka pujilah ia, barangsiapa yang memujinya, maka sesungguhnya ia telah bersyukur kepadanya, barangsiapa menyembunyikannya sesungguhnya ia telah kufur.” (HR. Abu Daud No: 4179, Status Hadis Sahih)

Kadang-kadang ada yang malu untuk memuji kerana takut-takut orang yang menerima pujian berasa riak. Namun, siapa kita untuk menilai apa yang ada di hati orang. Kita sebenarnya dibolehkan untuk memuji jika hal tersebut benar dan sesuai dengan apa yang dilakukan, tidak secara berlebih-lebihan dan tidak mendatangkan fitnah.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Dari Usamah bin Zaid RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “Jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958 – Status Hadis Hassan)

Kita juga boleh mengucapkan terima kasih dengan lafaz Jazakallah hu khairan yang bermaksud “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan” atau doa-doa lain yang sesuai diucapkan. Moga ia menjadi sebahagian daripada tanda kita bersyukur kepada Allah.

Carilah kebaikan dalam diri setiap orang yang kita jumpa. Jika kita tidak menemuinya, mungkin kita tidak benar-benar melihat.




No comments:

Powered by Blogger.