5 Cara Untuk Buat Kebaikan Dengan Mudah
Saya pernah meminta kepada Allah agar diberikan kekayaan supaya mudah untuk bersedekah.
Bagi saya, jika ada harta yang melimpah ruah, hati akan lebih ikhlas untuk membantu orang-orang yang memerlukan dan diri akan lebih rajin untuk memberi. Saya rasa, pasti ada di antara anda yang mungkin pernah juga berfikir demikian.
Namun, apabila difikir semula, adakah kita hanya menunggu diri ini kaya barulah boleh berbuat baik?
Atau dalam situasi lain; adakah kita akan menunggu ilmu kita sempurna barulah boleh mengajak orang ke arah kebaikan?
Hakikatnya, kebaikan dan amalan yang positif boleh sahaja dilakukan bila-bila masa tanpa mengira status kita.
Semua orang boleh berbuat baik, tidak kira muda mahupun tua atau kaya mahupun miskin.
Seperti kata-kata yang sering kita dengar – “Tidak perlu menunggu waktu yang tepat untuk bermula kerana ia tidak akan muncul. Tetapi, kita perlu memulakannya untuk menjadikannya tepat.”
Jadi, kali ini kita akan melihat bagaimana untuk berbuat kebaikan dengan mudah.
#1 – Senyum Dan Sebarkan Aura Positif
Senyum ialah perkara yang paling mudah untuk dilakukan. Tak perlukan wang ringgit mahupun otot-otot yang banyak pun.
Antara senyum dan marah, senyum lebih mudah dilakukan dengan hanya melibatkan 16 otot muka digerakkan untuk membentuk senyuman yang manis berbanding marah; manusia memerlukan 43 otot muka.
Pakar-pakar psikologi juga mengatakan bahawa senyum mampu mengubah mood kita. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mempengaruhi mood sekeliling.
Sebab itu, senyum diilai sebagai sebuah sedekah yang paling mudah dan elok untuk diamalkan. Ia boleh membantu memberikan aura positif kepada sesiapa sahaja.
تَبَسُّمُكَ فِى وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَةٌ
Maksud: “Senyummu di hadapan saudaramu adalah (bernilai) sedekah bagimu.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1956)
#2 – Memberi Kucing Makan
Memberi makan kepada makhluk Allah yang lain seperti haiwan atau menyiram pokok yang layu boleh sahaja dilakukan.
Ia tidak memerlukan nilai yang mahal, sebaliknya hanya usaha yang kecil sahaja. Ada sesetengah haiwan yang boleh sahaja makan makanan seperti manusia, contohnya nasi.
Namun, ada juga haiwan yang tidak boleh makan sembarangan. Perkara inilah yang perlu dititikberatkan.
#3 – Berkongsi Ilmu Yang Bermanfaat
Seiring dengan perkembangan zaman, perkongsian ilmu sudah boleh dilakukan secara alam maya. Jadi, perkongsian dan penyebaran ilmu secara meluas sudah boleh dilakukan dengan mudah.
Kalau kita sendiri tidak mampu untuk menulis atau bercakap perkara yang baik-baik, kita boleh sahaja kongsi hasil daripada apa yang kita dapat.
Lagi mudah jika kita hanya menekan butang share kepada kawan-kawan kita di media sosial.
Namun, perlu diambil perhatian tentang kesahihan ilmu dan maklumat itu. Jangan disebarkan perkara yang tidak betul atau palsu. Bimbang nanti orang lain akan mendapat maklumat yang salah.
#4 – Mengutip Sampah Atau Halangan Di Jalan
Jika ternampak ada sampah di jalan, boleh saja ambil dan buang di dalam tong sampah yang terdekat.
Atau jika melihat ada halangan di jalan seperti batu yang boleh mengganggu, boleh sahaja alihkan ia.
Perkara itu nampak kecil, namun ganjarannya besar di sisi Allah kerana kita sedang membantu memudahkan urusan orang lain.
Sebagaimana ada sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah RA, Baginda SAW bersabda;
Maksud: “Aku telah melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu yang berjuntai di jalan dan kayu tersebut mengganggu orang yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1914)
#5 – Menghubungkan Silaturrahim
Mungkin kadang-kadang kita akan terlepas pandang mengenai perkara ini, namun ia adalah perkara yang sebenarnya perlu dititikberatkan.
Tidak perlu keluar untuk berjumpa jika memang masing-masing jauh atau sibuk dengan urusan sendiri, namun silaturrahim boleh dihubungkan dengan WhatsApp bertanya khabar dan macam-macam lagi cara yang mudah yang boleh dilakukan.
Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang kita berada berjauhan daripada ibu bapa, saudara mara mahupun kawan-kawan.
Namun, itu tidak menjadi penghalang untuk menjaga silaturrahim dengan baik. Banyak teknologi yang telah wujud dan boleh memudahkan urusan kita sehari-hari. Jadi, inilah masa untuk memanfaatkannya.
Kesimpulan
Buat kebaikan itu mudah sahaja, hanya memerlukan usaha dan niat kerana Allah. Bahkan, ada kebaikan yang tidak memerlukan wang ringgit atau nilai yang besar pun.
Tinggal kita sahaja untuk melakukannya dengan cara yang paling kreatif.
Wallahu a’alam.
The post 5 Cara Untuk Buat Kebaikan Dengan Mudah first appeared on Tazkirah.
No comments: