Ads Top

Program Awesome Raja Lawak Tampilkan 14 Peserta… Saiful Apek, Khir Rahman & Ayda Jebat Jadi Juri Tetap

Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007, platform perintis program realiti komedi popular yang dahulu dikenali dengan jenama ‘Raja Lawak’ terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanahair dan sudah melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi.

Untuk edisi yang terbaharu yang dikenali sebagai Awesome Raja Lawak, seramai 14 peserta yang merangkumi empat peserta solo, enam peserta duodan empat peserta trio bakal bersaing selama sepuluh minggu untuk musim yang pertama.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, sebagai pemain baharu dalam industri kandungan hiburan di Malaysia, strategi paling pantas untuk memikat hati audiens ialah dengan meletakkan permintaan dan tabiat menonton mereka sebagai keutamaan paling atas bagi memastikan saluran Awesome TV terus menjadi pilihan ramai. 

“Pihak Awesome TV ingin melakar inisiatif strategik dengan menganjurkan edisi terbaharu program realiti komedi popular ‘Awesome Raja Lawak’ dalam usaha mencari pelapis pelawak angkatan baharu yang relevan, berilmu dan serba boleh. 

“Menerusi program ini, para peserta diberi peluang untuk mempamerkan bakat dan sisi kreatif  yang tersendiri agar mampu melonjakkan nilai jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain platform komersial, kami juga turut menyediakan kelas bimbingan untuk para peserta bagi memastikan kehadiran mereka di dalam industri hiburan kreatif bukanlah sekadar tempelan sahaja,” ujarnya.

Menampilkan 14 peserta untuk musim terbaharu, empat peserta solo terdiri daripada Azhar, Kanmani, Hanif dan Zunny. Peserta duo pula terdiri daripada Kumpulan Soda, Se’eh, Sedare, Mabo, Manja dan Beduk, manakala peserta trio pula ialah Kumpulan Kacau, Semmat, Pelan dan Sesah.

Uniknya, format penjurian akan diadili berdasarkan pemarkahan 70% oleh barisan juri profesional dan 30% undian peminat secara online. Peserta yang mendapat markah keseluruhan terendah akan disingkirkan.

Sementara itu, beliau menyatakan pihaknya berbesar hati dengan kehadiran nama-nama besar seperti Saiful Apek, Khir Rahman dan Ayda Jebat untuk mengisi kerusi juri tetap.

“Kami juga ingin umumkan barisan mentor yang terdiri daripada Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke Jambu sebagai tarikan utama edisi kali ini dan bagi menyuntik kelainan, kami turut memberikan kepercayaan kepada Chiwan Cilok dan Nizam Jentik-Jentik untuk mengemudi pentas utama dengan cara mereka yang tersendiri. 

“Dengan pengalaman dan penglibatan mereka dalam pelbagai cabang hiburan sebelum ini, kami yakin kesemua mereka dapat berkongsi aura seni yang unik kepada para peserta sekaligus dijadikan sebagai inspirasi kejayaan untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.

Konsert mingguan ‘Gelanggang Awesome Raja Lawak’ pula akan bersiaran secara langsung dari Studio FINAS, Jalan Hulu Kelang selama 10 minggu pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 7 September ini. – KopiPlanet.com

The post Program Awesome Raja Lawak Tampilkan 14 Peserta… Saiful Apek, Khir Rahman & Ayda Jebat Jadi Juri Tetap appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.