Kolaborasi Ibu & Anak… Fazura Bersama Fatima Tampil Dengan Lagu ‘Raya Pum Pang Lagi’
Kemeriahan “Raya Pum Pang” kembali menyapa Syawal tahun ini menerusi versi baharu berjudul “Raya Pum Pang Lagi” daripada pelakon, penyanyi dan usahawan terkenal, Fazura. Lagu yang sebelum ini menceriakan suasana perayaan kini kembali dengan nafas baharu yang jauh lebih peribadi, menerusi penyertaan insan paling istimewa dalam hidupnya, anak tersayang, Fatima.
Kolaborasi ibu dan anak ini bukan sekadar menghidupkan semula lagu Raya yang digemari ramai, malah menghadirkan dimensi emosi dan memori baharu yang menjadikan versi kali ini lebih manis, hangat, dan dekat dengan makna sebenar Syawal.
Lebih daripada sekadar versi baharu, “Raya Pum Pang Lagi” lahir daripada momen-momen kecil di rumah yang akhirnya bertukar menjadi sebuah kenangan besar buat Fazura sebagai seorang ibu.
Apa yang bermula sebagai nyanyian spontan seorang anak kecil kini menjadi sebuah rakaman rasmi yang bakal mengisi suasana Aidilfitri di hati para pendengar.
“Sejujurnya, idea ni datang secara sangat natural. Tahun lepas bila Raya Pum Pang keluar, Fatima memang selalu ikut menyanyi sekali dekat rumah. Dia hafal lirik, siap buat gaya sendiri.
Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil tu sesuatu yang lebih bermakna? Raya Pum Pang Lagi ni bukan sekadar versi baru, tapi versi yang ada kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” kongsi Fazura.
Kejujuran cerita di sebalik pembuatan lagu ini menjadi nadi utama yang membezakan “Raya Pum Pang Lagi” daripada lagu-lagu perayaan lain.
Ia bukan sahaja meraikan kemeriahan Raya, tetapi juga merakam detik kasih sayang, kebersamaan dan memori keluarga yang sering kali tercipta tanpa dirancang.
Baru-baru ini, Fazura dan Fatima turut mencuri perhatian ramai apabila tampil bersama di pentas Jakel Fashion Show 2026, memperlihatkan hubungan rapat ibu dan anak di hadapan khalayak ramai.
Penampilan itu mencetuskan perbualan hangat tentang kemungkinan kolaborasi istimewa, namun Fazura menegaskan bahawa lagu ini lahir daripada rasa hati, bukan perancangan komersial.
“Momen tu memang sangat manis, sebab kami dapat tampil bersama sebagai ibu dan anak di pentas yang besar. Tapi lagu ni sebenarnya lahir daripada rasa peribadi saya tentang Raya dan keluarga.
Kalau ada jenama yang turut sama meraikan nilai kekeluargaan dan tradisi macam Jakel, itu satu bonus yang sangat indah. Tapi inti lagu ni tetap tentang kasih sayang, memori, dan suasana Raya dalam keluarga kami.”
Antara momen paling bermakna sepanjang proses pembuatan lagu ini pastinya berlaku di studio rakaman. Buat pertama kalinya, Fatima berdiri di hadapan mikrofon bukan sekadar untuk bermain-main, tetapi sebagai sebahagian daripada sebuah karya rasmi. Bagi Fazura, detik itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Masa sesi rakaman tu memang sangat comel. Fatima nyanyi dengan penuh yakin dan bangga, macam dia betul-betul tahu dia sebahagian daripada lagu ni.
“Sebagai ibu, tengok dia berdiri depan mikrofon dengan semangat macam tu memang buat saya rasa sangat tersentuh dan emosional. Bagi saya, momen tu lebih daripada sekadar rakaman lagu, ia satu kenangan indah antara saya dan anak yang akan saya simpan sampai bila-bila,” ujarnya.
Melalui “Raya Pum Pang Lagi,” Fazura berharap lagu ini mampu menjadi latar kepada memori-memori baharu yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri.
Lagu ini membawa mesej bahawa makna Raya sebenar bukan terletak pada kesempurnaan luaran, tetapi pada insan-insan yang berkongsi detik tersebut bersama kita.
“Saya harap bila orang dengar lagu ni, mereka teringat rumah, gelak tawa anak-anak, dan momen kecil yang mungkin selalu kita terlepas pandang.
Raya bukan tentang baju cantik atau gambar sempurna semata-mata, tapi tentang siapa yang ada di sebelah kita masa tu,” jelasnya.
Dengan gabungan melodi ceria, lirik yang dekat di hati, dan kisah sebenar di sebalik pembuatannya, “Raya Pum Pang Lagi” bukan sahaja berpotensi menjadi lagu wajib sepanjang musim perayaan, malah sebuah karya yang akan diingati sebagai simbol kasih sayang antara ibu dan anak.
Lagu ini mengajak pendengar untuk berhenti seketika, menghargai momen kecil, dan meraikan erti sebenar kebersamaan di pagi Syawal.
“Raya Pum Pang Lagi” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital pada 20 Februari 2026. – KopiPlanet.com
The post Kolaborasi Ibu & Anak… Fazura Bersama Fatima Tampil Dengan Lagu ‘Raya Pum Pang Lagi’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: