Shiha Zikir Muncul Dengan ‘Memori Raya’, Bawa Elemen Nostalgia Imbau Kenangan Lama Sambut Aidilfitri
Penyanyi Shiha Zikir sekali lagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini apabila muncul dengan lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya.
Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dengan Giant Malaysia yang sekali lagi berganding bahu selepas kerjasama menerusi lagu Tum Tum Raya tahun lalu.
Menurut Shiha, lagu Memori Raya membawa elemen nostalgia yang mampu mengimbau kembali kenangan lama ketika menyambut lebaran. Walaupun melodinya bersifat ceria dan catchy, lirik lagu tersebut sebenarnya mampu menyentuh emosi pendengar serta mengingatkan mereka kepada memori indah bersama keluarga.
“Lagu ini sebenarnya membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.
“Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali kenangan lama, ” katanya.
Tambah Shiha, lagu tersebut dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh yang singkat mengikut konsep yang diinginkan olehnya.
Menurutnya lagi, sebelum ini dia sudah banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini dia mahu tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan moden.
Menyentuh mengenai mesej lagu tersebut, Shiha berkata Memori Raya berkisar tentang kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman serta pertemuan dan masa masa terluang bersama keluarga tersayang dalam persiapan menyambul Syawal.
“Walaupun kedengaran cliche, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kembali kenangan di kampung, bertemu ibu bapa serta saudara-mara ketika musim perayaan, ” jelasnya.

Shiha turut berkongsi bahawa idea untuk menghasilkan lagu ini tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan dan proses menghasilkannya dibuat dalam tempoh waktu yang agak singkat.
“Walaupun keputusan untuk menghasilkan lagu ini dibuat dalam masa yang singkat, saya tetap mahu memastikan semuanya berjalan lancar. Selain untuk diri saya sendiri, saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang kerjasama dengan Giant Malaysia, Shiha akui gembira kerana dapat mendekati lebih ramai orang baharu di luar sana menerusi kempen dan pelbagai aktiviti menarik.
“Saya dapat mendekati dan mengenali ramai orang di luar sana kerana Giant banyak membantu masyarakat. Oleh itu, saya berpeluang untuk sertai mereka dalam membantu orang ramai menerusi kempen dan aktiviti yang mereka adakan. Jika tahun lalu kami membantu orang ramai membeli barang-barang dapur, untuk tahun ini pula, nantikan….” katanya.
Berkongsi kisah menarik sepanjang penggambaran video muzik Memori Raya, Shiha berkata dia turut mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk menyertai penggambaran tersebut.
“Saya memilih beberapa orang yang saya tidak kenal melalui media sosial untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di set penggambaran video muzik. Saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Apa yang menggembirakan, mereka semua sangat teruja sepanjang penggambaran walaupun penggambaran mengambil masa yang agak panjang,” ujarnya.
Menurut Shiha, pengalaman tersebut sangat bermakna kerana mereka sama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu Memori Raya.
Berkongsi harapannya terhadap lagu berkenaan, Shiha berkata: “Saya harap orang ramai suka dan mahu menyokong lagu Memori Raya serta lagu raya lain yang turut dikeluarkan oleh artis tempatan tahun ini.
“Semoga lagu ini dapat menjadi antara lagu pilihan sepanjang musim perayaan. Jangan lupa juga untuk menonton video muzik serta menyertai challenge yang akan saya kongsikan di media sosial.”
Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama dengan Shiha Zikir sebagai satu kolaborasi yang sangat bermakna selepas kejayaan yang diraih tahun lalu.
Menurut Encik Andre Lim selaku Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Shiha bukan sahaja seorang selebriti, malah memiliki personaliti ceria dan bertenaga yang sangat dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, selari dengan profil pelanggan Giant.
“Kerjasama kami dengan Shiha Zikir dan Shiha Zikir Empire tahun lalu membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.
“Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi adalah kunci dalam membina kepercayaan jenama,” katanya.
Mengulas mengenai keistimewaan lagu raya kali ini, Andre berkata, lagu Memori Raya membawa pendekatan yang berbeza berbanding tahun sebelumnya.
“Jika tahun lalu kita lebih menekankan kemeriahan sambutan Aidilfitri, tahun ini lagu ini membawa vibes nostalgia dalam gabungan elemen dan susunan muzik moden yang catchy.
Kami mahu apabila pelanggan mendengar lagu ini di radio atau di cawangan Giant, mereka akan berasa teruja untuk membuat persiapan raya bersama keluarga, ” jelasnya.
Pihak Giant Malaysia juga berharap lagu Memori Raya dapat menjadi antara lagu tema Aidilfitri yang dekat di hati rakyat Malaysia tahun ini.
“Kami berharap lagu ini mampu mencipta kenangan manis buat pelanggan ketika mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya.
“Lebih daripada sekadar muzik, kami mahu ia menyatukan komuniti dan mengingatkan semua bahawa Giant sentiasa bersama pelanggan dalam mencipta memori raya yang indah, ” kata Andre.
Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen utama bertemakan “Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pelanggan.
Melalui peraduan “Beli & Menang” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 15 April 2026, pelanggan yang berbelanja minimum RM60 dalam satu resit di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk bar emas.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah hadiah utama bar emas seberat 10 gram, hadiah keduabar emas seberat 5 gram serta 15 hadiah berupa bar emas seberat 1 gram.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar tunai Giant bernilai RM100 sebagai hadiah mingguan.
Kempen ini turut disokong oleh beberapa rakan jenama strategik seperti Uncle Jack, F&N, Kimball, Crunchitos dan Golden Bites bagi memastikan pelanggan menikmati pelbagai pilihan produk dengan harga promosi yang lebih kompetitif.
Dengan gabungan lagu raya yang penuh nostalgia serta kempen menarik daripada Giant Malaysia, kolaborasi ini diharap dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini serta mencipta kenangan manis buat rakyat Malaysia. – KopiPlanet.com
The post Shiha Zikir Muncul Dengan ‘Memori Raya’, Bawa Elemen Nostalgia Imbau Kenangan Lama Sambut Aidilfitri appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: