Ads Top

Jubin Nautiyal Ubati Kerinduan 3,000 Peminat Bollywood Di Malaysia

Demam Bollywood di Malaysia akhirnya terubat malam tadi apabila penyanyi latar (playback) nombor satu India, Jubin Nautiyal hadir menghiburkan hampir 3,000 peminat di Malaysia ketika konsert perdananya ‘Jubin Nautiyal: Live In Malaysia’ bertempat di dewan Plenary Hall, KLCC yang dikelolakan oleh syarikat penganjur acara popular, Hitman Solutions.

“Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di Malaysia dan sambutan yang saya terima cukup mesra. Meskipun singkat, saya berpeluang melihat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur dan merasai makanan Malaysia, dan tujuan utama saya ke sini adalah bermain muzik bagi menghiburkan peminat saya di Malaysia,” jelas jejaka kacak berusia 33 tahun ini.

Dalam konsert malam tadi, peminat dihiburkan selama 2 jam dengan hampir 30 buah lagu oleh Jubin dengan lagu-lagu hitnya seperti Zindagi dari filem ‘box-office’ Bajrangi Bhaijaan, Lut Gaye yang meraih 1.2 billion tontonan di YouTube, Humnava Mere, Tum Hi Aana, Raataan Lambiyan dan banyak lagi dengan diiringi seramai 15 pemuzik berbakat yang dibawa khas dari India.

“Rencananya, saya akan menyanyikan dalam 20 buah lagu sahaja tetapi kebanyakan peminat berasa hampa dan mahukan lebih, jadi saya hadiahkan 30 buah lagu kesemuanya yang saya nyanyikan secara medley demi tidak menghampakan perasaan mereka semua,” tambah Jubin.

Kerjayanya bermula sekitar tahun 2011 dengan menyertai program realiti X Factor India namun tidak berjaya sampai ke peringkat akhir, meskipun begitu ia tidak mematahkan semangatnya, katanya, “Kekuatan saya selama ini adalah muzik itu sendiri, saya tidak pernah menganggapnya sebagai hobi atau sekadar minat, lebih kepada sebuah cara hidup (way of life), sama seperti makanan, seperti bernafas, begitulah pentingnya muzik dalam kehidupan saya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menghibur dan menggembirakan peminat-peminat saya pada malam ini melalui muzik yang saya bawakan, saya hanya mengharapkan kasih sayang, senyuman yang terukir dan mungkin juga tangisan di wajah mereka (peminat), serta pulang dengan kenangan yang indah. Semoga kita berjumpa lagi di lain masa, terima kasih Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, “Terima kasih kepada pembeli tiket dan kesemua yang hadir pada malam ini kerana sambutan yang diterima sangat memberangsangkan serta luar jangkaan.

“Terima kasih juga kepada Tourism Malaysia, Malaysia Truly Asia, Milestone Entertainment, Kuna KL, Clifftop Group Asia, Malik Streams, Astro Ulagam, Astro Box Office Bollyone HD, Bollylah, Raaga.my, D’Mart Travel & Tours Sdn Bhd. dan Varnam MY.

“Kami berasa sangat terpesona dengan persembahan Jubin Nautiyal yang menyentuh hati kami pada konsert pertamanya di Malaysia. Akhir sekali, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang telah membantu menjayakan konsert ini,” ujarnya. – KopiPlanet.com

The post Jubin Nautiyal Ubati Kerinduan 3,000 Peminat Bollywood Di Malaysia appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.