Ads Top

Mahu Ikut Trend Terkini & Promosi Filem, Joey Daud Akhirnya Buka Akaun Instagram & TikTok

Setelah hampir tiga dekad bergelar anak seni, pelakon dan pelawak popular, Joey Daud terpaksa membuka akaun Instagram dan TikTok untuk membolehkan dirinya mempromosikan filem terbaharu Gadis Jolobu The Movie.

Joey berkata, dia akur orang lama sepertinya perlu mengikut trend semasa untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.

“Setelah agak lama dalam bidang seni, saya tak sangka pada usia sekarang ini baru akan membuka akaun Instagram dan TikTok sebagai medium mempromosikan filem lakonan.

“Saya percaya impak media sosial apabila beberapa babak lakonan dalam filem Gadis Jolobu The Movie yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok menjadi tular dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, mengulas lakonan dalam filem genre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie, pelakon kelahiran Masai, Johor itu berdepan cabaran menjiwai watak yang memerlukannya bertutur dialek Negeri Sembilan dengan pelat ‘S’ di penghujungnya.

“Bayangkan, pengarah dan kru adalah 90 peratus bukan berbangsa Melayu dan mereka juga tidak memahami dialek Negeri Sembilan.

“Mujur, Hattan dan ada kru kelahiran Negeri Sembilan memantau dialek dituturkan ketika babak saya di lokasi penggambaran,” katanya.

Bagaimanapun, Joey menyatakan dia tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan keserasian bekerjasama dengan Hattan mahupun Khir.

“Babak saya banyak dengan Khir kerana watak kami sebagai bujang terlajak yang terlebih dahulu pulang ke kampung selepas sekian lama bekerja di bandar.

“Saya dan Khir sudah banyak kali bekerjasama dalam pelbagai program seperti Muzikal Lawak Superstar, Maharaja Lawak Mega dan kumpulan JanGo. Disebabkan itulah, kami sudah tahu cara masing-masing bekerja.

“Antara perkara melucukan ialah babak saya menyanyi, tetapi semua kru ketawa dan turut sama menari,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan CL Hor, Joey berkata, dia selesa bekerja dengan pengarah berbangsa bukan Melayu yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan selama berbelas-belas tahun itu.

“CL Hor memberi kebebasan dan ruang kepada saya berkarya dan menjiwai watak,” katanya.

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E, Nizam Laksamana dan penampilan bakat baru serta pengacara Ahirine Ahirudin.

Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

Ditanya harapannya terhadap filem itu, Joey berkata, dia gementar menanti maklum balas penonton di pawagam.

“Pelawak adalah satu kerjaya. Bukan mudah menjadi pelawak yang bagus kerana kena banyak menuntut ilmu dengan pelawak hebat.

“Pada masa sama, bukan semua orang suka kita, tetapi saya ikhlas berkarya untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di You Tube.

Menerusi filem arahan CL Hor itu, Joey bergandingan dengan Datuk Hattan dan Khir Rahman, selain beberapa pelakon lain seperti Ahirine Ahirudin.

Filem berkenaan akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan. – KopiPlanet.com

The post Mahu Ikut Trend Terkini & Promosi Filem, Joey Daud Akhirnya Buka Akaun Instagram & TikTok appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.