Sheila Majid Sambut Empat Dekad Dalam Industri Seni Menerusi Single Baharu Moving On
Empat dekad yang lalu, bermulanya karier penyanyi legenda bertubuh genit dengan suara lunak yang mula mencorakkan dunia muzik tanah air. Hari ini, beliau masih di sini. Masih membara dan masih berbisa.
Sheila Majid terus membuktikan keunggulan dan ketahanan beliau dalam industri muzik apabila melancarkan single terbaharunya bertajuk Moving On, bersempena dengan sambutan 40 tahun perjalanan seninya yang luar biasa.
Pelancaran ini diraikan dengan sebuah acara eksklusif di Pavilion Damansara Heights, yang turut menarik perhatian peminat, media serta rakan industri.
Moving On bukan sekadar lagu baharu — ia adalah cerminan perjalanan peribadi seorang legenda. Ia membawa mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan, dengan adunan muzik era disko yang segar serta sentuhan nu-disco kontemporari.
“Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa.
“Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya.”
Selepas era pandemik, Sheila menyedari bahawa karya lamanya — khususnya Sinaran — mula mendapat perhatian generasi muda. Ini memberi inspirasi buat Sheila untuk mahu berkarya dan menyatukan dua dunia melalui muzik.

Moving On mengisahkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital.
Ia mengajak pendengar untuk meninggalkan kekecewaan dan terus mara ke hadapan, menyeru kepada semangat percaya diri dan kebebasan emosi, terutamanya dalam dunia digital yang penuh tekanan hari ini.
Untuk menjayakan visi muziknya, Sheila bergabung dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang dikenali dengan kerja-kerja produksi bertaraf antarabangsa.
Mood board lagu ini sarat dengan inspirasi era kegemilangan Donna Summer dan Diana Ross, sejajar dengan kecintaan Sheila terhadap groove tahun 80-an. Irama city pop yang kini kembali popular dalam kalangan generasi muda bukanlah asing buat Sheila — kerana di situlah akar muziknya bermula.
“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah,” kata Kim Lim daripada Universal Music Malaysia. “Dan Moving On membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar.” – KopiPlanet.com
The post Sheila Majid Sambut Empat Dekad Dalam Industri Seni Menerusi Single Baharu Moving On appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: