Paraxnormal Kisah Empat Sahabat Alami Kejadian Seram Ketika Rompak Vila Misteri
Paraxnormal merupakan sebuah karya seram psikologi komedi yang membawa pendekatan segar dalam genre seram tempatan.
Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, filem ini menggabungkan unsur seram, psikologi, komedi gelap dan konflik persahabatan.
Penerbitnya, Nurul Ain Nordin berkata, Paraxnormal bukan sekadar paparan kisah makhluk ghaib, sebaliknya menelusuri sisi gelap sifat manusia seperti ketamakkan, dendam, dan pengkhianatan.
“Ilham untuk naskhah ini muncul secara tidak dijangka sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabat saya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem ini. Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini.
“Jadi, kami percaya genre ini masih mempunyai peminat tersendiri dan akhirnya tercetuslah idea untuk menghasilkan Paraxnormal yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej mendalam tentang erti ‘kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri’,” ujar Ain.
Paraxnormal mengangkat kisah empat sahabat karib yang secara tidak sengaja mengalami pelbagai kejadian menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri yang dikatakan berhantu, tetapi menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.
Ujarnya, barisan pelakon yang ditampilkan dalam filem terbitannya itu juga antara tarikan untuk menonton filem ini.
“Menerusi filem ini, barisan pelakon utama terdiri daripada gabungan pelakon berpengalaman dan pelapis baharu.
“Misalnya, dalam filem kami menampilkan Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang, dan Amir Nafis serta turut dibantu oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff,” jelasnya.

Jelasnya, dengan kombinasi pelakon pelbagai latar dan generasi, mereka berjaya mencipta keserasian yang luar biasa dan menjadi menjadikan Paraxnormal sebuah naskhah yang segar dan layak ditonton di pawagam.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Ain memberitahu mereka mula rancang Paraxnormal sebagai Super Telemovie pada tahun 2023, namun disebabkan kekuatan jalan ceritanya, Paraxnormal diputuskan untuk dibawa ke layar perak.
Namun begitu, penerbit berkenaan turut mendedahkan bahawa proses penggambaran tidaklah semudah yang disangka.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuklah masalah teknikal seperti monitor dan kabel yang rosak walau selepas di ganti serta kejadian aneh yang sukar dijelaskan.
“Selain itu, ada hari waktu pengambaran, kru yang mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak di lokasi, selain insiden penolong pengarah mengamuk tanpa sebab dan kemudian pengsan secara tiba-tiba, yang mana pada waktu itu penggambaran terpaksa ditangguhkan” kongsinya.
Sebagai penerbit, Ain menaruh harapan agar Paraxnormal yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2025 diterima baik oleh penonton dan menjadi salah satu filem seram tempatan yang meninggalkan kesan.
SINOPSIS
Empat sahabat karib iaitu Yasin, Asri, Fateh dan Anas telah terpisah sejak kecil. Selepas 30 tahun, mereka bertemu semula dan Anas mencadangkan satu rancangan gila: merompak Vila Casablanca yang terbiar dan dikatakan berhantu. Namun, apa yang mereka temui jauh lebih menakutkan daripada sekadar hantu. – KopiPlanet.com
The post Paraxnormal Kisah Empat Sahabat Alami Kejadian Seram Ketika Rompak Vila Misteri appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: