Buka Sekolah Tadika Sejak Setahun Lalu, Siti Nurhaliza Tanam Impian Mahu Jejakkan Kaki Di Bumi Gaza
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan dia telah membuka sekolah pendidikan awal kanak-kanak atau tadika yang diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin hampir setahun lalu.
Siti berkata, sekolah yang dibuka menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K ketika ini diuruskan oleh sahabat mereka yang juga rakyat tempatan di sana.
“Alhamdulillah, sehingga kini setiap bulan kami secara peribadi dan Yayasan Nurjiwa akan membuat sumbangan untuk keperluan sekolah berkenaan dan kami nak berterusan dan semuanya daripada kami.
“Misalnya, kalau ada rezeki lebih seperti setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang tadika berkenaan sudah memiliki hampir 50 pelajar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Sidang Media Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang berlangsung baru-baru ini.
Pada masa sama, penyanyi popular berkenaan juga meluahkan impiannya untuk menjejakkan kaki di bumi Gaza serta melawat sekolah tadika yang dibukanya itu pada masa akan datang.
“Sudah tentu impian nak ke Gaza itu memang ada, termasuk melawat ke sekolah berkenaan bersama suami. Saya harap impian ini akan termakbul suatu hari nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut mengenai acara Music of The Soul: An Evening with Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Siti memberitahu ia merupakan persembahan amal bagi mengutip dana yang akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.
Akan berlangsung di Dewan Planery KLCC selama dua malam iaitu pada 5 dan 6 November ini, pihaknya turut menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta.
“Selain menerusi penjualan tiket, kalau ada orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah dan kita terbuka.
“Untuk makluman, dana daripada yayasan ini bukan khusus untuk sekolah Afwa & Aafiyah saja, tetapi kita juga membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir, Covid-19 dan yang nak membina masjid,” jelasnya.
Ujar Siti, apa yang lebih istimewa semasa acara berkenaan nanti adalah penampilan penyanyi rock terkenal tanah air iaitu Datuk Awie.
Tiket-tiket untuk menyaksikan acara tersebut sudah mula dijual dengan harga RM188, RM288, RM388, RM488, RM588, RM788, RM888 dan RM1188 menerusi www.myticket.asia atau di talian 03-86050196. – KopiPlanet.com
The post Buka Sekolah Tadika Sejak Setahun Lalu, Siti Nurhaliza Tanam Impian Mahu Jejakkan Kaki Di Bumi Gaza appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: