Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang Gabungan Dua Karya Popular Mamat Khalid
Setelah muncul dengan karya komedi 16 Puasa dan 17 Puasa, kini pengarah tersohor Mamat Khalid muncul dengan filem terbaharu iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang.
Menariknya, filem ini menggabungkan dua karya masterpiece pengarah berkenaan iaitu 16 dan 17 Puasa serta Kampung Pisang.
Masih mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’, apa yang menarik kali ini adalah mesej yang cuba disampaikan lebih berat dan pedas yang mampu menjentik hati untuk merenung kembali setiap tingkah laku manusia di samping memaparkan hiburan santai untuk seisi keluarga.
Amat bersesuaian dengan bulan penuh barakah, 18 Puasa Di Kampong Pisang akan mengetengahkan mesej tersurat tentang hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, rukun islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.
Mamat berkata, filemnya kali ini membawakan pendekatan yang berbeza berbanding karya 16 Puasa & 17 Puasa.
“Sudah tentu nilai hiburannya masih ada, cuma terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini. Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri.
“Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan,” ujarnya.
Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon popular seperti Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).
Ia mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden.
Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya. Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, memang ramai yang bertanya tentang kesinambungan 16&17 Puasa tahun lalu.
“Kehadiran filem 18 Puasa Di Kampong Pisang pasti akan mengubati rindu mereka di luar sana untuk menikmati hiburan dan bergelak ketawa.
“Lebih menarik, menerusi karya terbaru ini, penonton dapat menyaksikan sentuhan luar biasa dan dan mempunyai keunikkan tersendiri oleh Mamat Khalid,” jelasnya.
Saksikan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 15 April 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw. – KopiPlanet.com
The post Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang Gabungan Dua Karya Popular Mamat Khalid appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: