Ads Top

Adakah Gigi Palsu Emas Perlu Dicabut Dari Jenazah

Gigi palsu digunakan bagi menggantikan gigi yang hilang untuk tujuan kesihatan seperti memudahkan seseorang itu mengunyah makanan dan dapat menjadikan percakapan lebih jelas.

Apabila banyak gigi yang hilang, otot muka boleh mengendur dan membuatkan wajah kelihatan lebih tua.

Oleh itu, ia digunakan untuk membantu mengembalikan profil wajah anda, mengembalikan senyuman dan membantu meningkatkan keyakinan diri.

Dalam Islam, pemakaiannya adalah harus bagi tujuan memperbetulkan kekurangan pada bahagian gigi.

Gigi palsu boleh dipilih sama ada daripada plastik, besi dan juga emas. Dalam bidang pergigian moden, penggunaan emas semakin meluas. Ini kerana, sifat-sifat unik logamnya sendiri adalah tidak teroksida dan tahan kakisan.

Walau bagaimanapun, jika seseorang yang memakai gigi palsu emas dan meninggal dunia, adakah perlu dicabut gigi emas tersebut?

Dalam hal ini, ulama menjawab bahawa ia perlu dilihat kepada situasi. Tidak perlu mencabut gigi palsu daripada jenazah kerana bimbang ia akan mencacatkan sekali gus membuka keaiban jenazah.

Maka, di sini tidak perlu mencabut gigi palsu tersebut dengan tujuan menjaga kehormatannya.

Imam Al-Mawardi menyebut – “Di dalam kitab al-Fusul dinyatakan: jika ada orang yang perlu untuk mengikat giginya dengan emas, kemudian giginya diikat dengan emas, atau dia perlukan hidung emas, kemudian dia diberi hidung emas lalu diikat, kemudian dia mati; maka tidak wajib ditanggalkan dan dikembalikan kepada pemiliknya. Ini kerana menanggalkannya akan menyebabkan ia membongkar kehormatan mayat.” (Al-Insaf, 2/555)

Bagaimanapun, jika senang dicabut dan tidak menimbulkan masalah lain, maka ia perlu ditanggalkan. Hal ini kerana emas tersebut akan menjadi harta yang tidak dibazirkan. Ia perlu diberi sebagai harta kepada ahli waris. (Al-Mughni, 2/204)

Syeikh Abdul Aziz bin Baaz menyebut – “Yang disyariatkan adalah menanggalkannya kerana gigi palsu berupa emas adalah harta dan harta tidak boleh disia-siakan.”

Kesimpulan

Secara tuntasnya, di sini dapat kita lihat bahawa hukum mencabut gigi palsu emas dari jenazah adalah bergantung kepada situasi.

Dilarang mencabutnya jika ia boleh menimbulkan keaiban kepada jenazah dan mendatangkan kerosakan kepada bahagian giginya yang lain.

Namun, jika proses mencabutnya mudah dan tidak mendatangkan kemudaratan, maka ia perlu ditanggalkan.

Wallahu a’alam

Baca juga:
Perlukah Menanggalkan Gigi Palsu Atau Pendakap Gigi Daripada Jenazah

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutan

The post Adakah Gigi Palsu Emas Perlu Dicabut Dari Jenazah first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.