Ads Top

Kerana Seorang Lelaki Papar Kisah Dua Keluarga Beza Budaya Rebut Harta

Mengukuhkan peranannya sebagai slot drama dengan naratif yang berat dan mencabar, Astro sekali lagi mempertaruhkan kisah konflik keluarga dan cinta menerusi Kerana Seorang Lelaki di slot Tiara.

Menghiasi slot ini bermula 11 Ogos 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105), drama memaparkan akibat apabila rahsia sang suami terbongkar, melagakan dua keluarga yang berbeza budaya dan cara demi harta. 

Drama ini menyaksikan gandingan semula pasangan kegemaran penonton daripada drama Beautiful Love Revenge, Harissa Adlynn dan Daniel Fong, yang terjerat dalam kisah cinta terlarang.

Mereka turut disokong oleh dua persona wanita berpengaruh, Marissa Yasmin dan Dr Soo Wincci, yang membawa watak ibu dari dua latar keluarga berbeza, namun terikat dengan cinta kepada lelaki yang sama. 

Disutradarai oleh pengarah tersohor Michael Ang dan diterbitkan oleh Darkwave Pictures, drama ini turut mencatat sejarah tersendiri kemunculan sulung Dr So Wincci sebagai watak antagonis utama dalam slot Tiara di Astro. 

Konflik bermula dengan kematian mengejut Richard Wong (lakonan Steve Yap), seorang tokoh korporat yang rupanya menjalani kehidupan rahsia dengan dua keluarga yang langsung tidak mengenali antara satu sama lain.

Kewujudan dua isteri dan anak-anak daripada perkahwinan yang berbeza mencetuskan pertembungan antara Madame Clarissa (Dr Soo Wincci), wanita berstatus tinggi dan penuh kawalan, serta Puan Linda (Marissa Yasmin), ibu penyayang dari kehidupan serba sederhana.

Pertentangan dua dunia ini menjurus kepada perebutan harta, kuasa dan kasih sayang termasuk kisah cinta tragis antara dua anak yang sebenarnya berkongsi pertalian darah.

Turut membintangi ialah Arena Wan, Kahoe, Aiman Ameer dan Nabil Aqil, melengkapi barisan pelakon generasi baharu dan berpengalaman yang bakal menghidupkan konflik dan emosi mendalam dalam drama ini.

Menurut Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Melayu, Astro, “Kerana Seorang Lelaki membawa penonton menyusuri sebuah kisah yang menggugat naluri tentang cinta yang tersasar, warisan yang dipertikai dan dua keluarga yang berperang kerana rahsia silam seorang lelaki.

Dalam dunia yang terbahagi oleh darjat dan kuasa, dua wanita bangkit bukan sekadar untuk mempertahankan hak, tetapi juga maruah dan masa depan anak-anak mereka.

Naskhah ini mencabar persoalan siapa yang layak dikasihi, diwarisi dan dipercayai, menjadikan ia sebuah drama yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mengajak penonton berfikir dan merasa.”

Kerana Seorang Lelaki bukan sekadar kisah konflik keluarga biasa, ia mengetengahkan isu-isu realiti seperti jurang sosial, agama, kepentingan menjaga nasab, ketamakan yang menghancurkan dan perjuangan wanita dalam dunia yang sering meminggirkan mereka.

Watak-watak wanita dalam naskhah ini digambarkan sebagai berani, kompleks, manipulatif namun penuh emosi, mencerminkan cabaran sebenar yang dihadapi ramai wanita hari ini. – KopiPlanet.com

The post Kerana Seorang Lelaki Papar Kisah Dua Keluarga Beza Budaya Rebut Harta appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.