Wujudkah Himpitan Kubur?
Saya teringat lagi, sewaktu kecil ustaz dan ustazah sering mengajak kami untuk berbuat baik terutamanya terhadap ibu bapa.
Katanya, jika kita derhaka kepada mereka dengan melakukan perkara-perkara yang tidak menyenangkan hati sama ada yang kecil atau besar sehingga dosa itu menghalang daripada reda Allah, bimbang jika Allah akan memberikan azab kubur suatu masa kelak.
Salah satu azab yang disebutkan adalah menerima himpitan kubur. Kubur akan menjadi luas buat orang-orang yang beriman, namun ia akan menjadi sempit ditambah juga dengan datangnya haiwan berbisa untuk menyeksanya.
Namun, apa yang dimaksudkan dengan himpitan kubur dan adakah betul perkara tersebut?
Sebelum itu, mari kita lihat hadis yang telah diriwayatkan mengenai himpitan kubur;
إِنَّ لِلْقَبْرِ ضَغْطَةً وَلَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْهَا نَجَا مِنْهَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ
Maksud: “Sesungguhnya bagi kubur itu ada himpitan. Kalau ada seseorang yang terselamat dari himpitan tersebut, sudah pasti yang terselamat adalah Sa’ad bin Muaz.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, no. 24283)
Al-Hafiz Al-Iraqi menukilkan bahawa hadis ini adalah sahih kerana perawinya yang thiqah.
Dalil yang kedua adalah yang telah diriwayatkan daripada Imam Nasai;
Maksud: “Inilah yang menyebabkan bergeraknya arasy dan dibuka baginya pintu-pintu langit serta disaksikan oleh 70 000 malaikat. Dia telah dihimpit (di dalam kubur) kemudian dilepaskan daripadanya.” (Hadis Riwayat Nasaie, no. 2054)
Maksud Himpitan Kubur
Kita tahu bahawa kubur itu sempit dan sangat gelap. Namun, maksud himpitan kubur berdasarkan pandangan ulama ialah;
Himpitan itu boleh bertukar menjadi azab dan juga boleh menjadi kebaikan untuk penghuninya.
Imam Al-Munawi berkata – “Tanah menjadi rindu. Apabila ia mendapati ada orang mukmin di dalamnya, ia akan menghimpitnya dengan himpitan rahmat, sesuai dengan keadaan ketika orang itu datang. Jika yang datang itu adalah orang yang baik, ia akan dilepaskan dengan segera.” (Faidh al-Qadir, 5/332)
Himpitan kubur ini akan dilalui oleh semua orang (kecuali para nabi). Ia bukanlah himpitan yang menyakitkan pada awalnya.
Namun, ia akan berubah mengikut keadaan; ertinya, jika penghuninya adalah pelaku maksiat yang telah ditentukan azabnya, maka himpitan itu akan berubah menjadi perkara yang menyakitkan.
Tetapi, jika penghuninya adalah orang yang beriman, maka kubur itu akan menjadi salah satu tempat istirehat buatnya.
إنَّما القبرُ روضةٌ من رياضِ الجنَّةِ أو حفرةٌ من حفرِ النَّارِ
Maksud: “Kubur itu adalah salah satu kebun syurga atau salah satu lubang neraka.” (Riwayat Abu Said Al-Khudri, 5/74. Disahihkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani)
Wallahu a’alam
Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumaysho.com
The post Wujudkah Himpitan Kubur? first appeared on Tazkirah.
No comments: