Ads Top

Status Hadis – 1 Orang Yang Bersabar Bersamaan Dengan 50 Orang Yang Bersabar

Sabar adalah perkataan yang ringkas namun memiliki makna yang sangat besar. Dalam Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga jenis; Pertama, sabar dalam melakukan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menerima takdir.

Bercakap tentang sabar, ada sebuah hadis menarik yang menyebutkan bahawa di akhir zaman, amalan bersabar diibaratkan seperti menggenggam bara api, malah seorang yang bersabar pada waktu itu mendapat pahala seperti 50 orang yang bersabar.

Nabi SAW pernah bersabda kepada para sahabat,

فَإِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا الصَّبْرُ فِيهِنَّ مِثْلُ القَبْضِ عَلَى الجَمْرِ، لِلْعَامِلِ فِيهِنَّ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِكُمْ

“Sesungguhnya di belakang kalian (nanti) ada hari-hari, di mana bersabar pada waktu tersebut seperti halnya memegang bara api. Orang yang beramal di waktu tersebut seperti (mendapat) pahala 50 orang, yang beramal seperti amal kalian. Terdapat tambahan lain dalam riwayat perawi lain, bahawa Beliau SAW ditanya: “Wahai Rasulullah! (mendapatkan) Pahala 50 orang dari kami atau dari mereka? Beliau SAW menjawab: “Bahkan pahala 50 orang dari kalian.” (HR At-Tirmidzi, no.3058 – Hasan Gharib)

Hadis di atas dinilai sebagai hadis hasan gharib.

Tindakan bersabar dalam ketaatan dan mengamalkan Islam adalah hal yang sangat berat pada waktu itu. Fitnah dan maksiat berleluasa, cabaran datang daripada kiri dan kanan melalui pelbagai medium berupaya menggugat diri jika iman tidak dijaga dengan baik.

Bayangkan sahaja jika seseorang itu ingin berbuat baik, ada yang menyalahkan, mencemuh, menuduh, menfitnah dan mungkin mencederakan. Kesemua hal ini mampu menjatuhkan seseorang jika dia tidak menggenggam kesabaran yang tinggi. Justeru, tidak mustahil nilai pahala yang dianugerahkan Allah kepada seorang yang sabar pada waktu itu bersamaan dengan 50 orang sahabat yang bersabar. Subhanallah!

Oleh itu, binalah kesabaran dan keteguhan hati dalam mengamalkan Islam sejak dari sekarang. Islam telah datang kepada kita secara sempurna. Baginda mengingatkan bahawa sesiapa yang mengikut Al-Quran dan sunnah baginda, nescaya kita tidak akan sesat selamanya.

The post Status Hadis - 1 Orang Yang Bersabar Bersamaan Dengan 50 Orang Yang Bersabar first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.