Ads Top

Hampir Dimarahi? Ini Doa Yang Boleh Dibaca Untuk Mengelaknya

Apa yang anda lakukan setiap kali hampir kena marah? Biarkan sahaja diri anda dimarahi atau melawan kemarahan tersebut dengan turut berperang mulut?

Kadang-kadang, apabila kesalahan itu datangnya dari diri kita sendiri, memang wajar untuk dimarahi. Dan amarah itu bukan bukti benci atau perbuatan yang disengajakan, namun ia adalah untuk memberi pengajaran kepada diri kita tentang perkara yang tidak perlu dilakukan.

Namun, jika kesalahan itu bukanlah dari kita, sudah tentu kita akan cuba membetulkan salah faham yang berlaku.

Ada juga ajaran yang diajarkan oleh Baginda SAW, iaitu doa yang perlu dibaca ketika dimarahi.

Hal ini adalah berdasarkan sebuah kisah yang pernah berlaku di antara ‘Ali bin Al-Husain dan seorang hamba perempuannya.

Ketika perempuan itu ingin menuangkan air kepada ‘Ali (ada riwayat mengatakan bahawa ia digunakan untuk bersuci), kemudian bekas yang digunakan itu terjatuh ke atas lantai dan pecah sehingga ia melukai ‘Ali.

‘Ali lalu memandang budak tersebut, namun ia tidak memarahinya kerana budak itu berkata: “Ingatlah bahawa Allah telah berfirman:

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ

Maksud: “(Ciri-ciri penghuni syurga adalah) orang yang menahan amarahnya.”

Kemudian, ‘Ali berkata: “Aku tidak memarahimu lagi.” Budak perempuan itu terus berkata:

وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ

Maksud: “(Ciri-ciri penghuni syurga adalah) memaafkan kesalahan orang.”

‘Ali kemudian berkata lagi: “Saya sudah memaafkanmu.” Dan budak itu berkata lagi:

وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksud: “Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”

‘Ali kemudian berkata: “Sekarang engkau bebas (merdeka).” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, 10:545)

Ayat yang dibaca oleh hamba perempuan tersebut ialah melalui surah Al-‘Imran, iaitu:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Mafhum: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Al-Imran, 3:134)

Jadi, apabila anda berada dalam situasi tegang atau hampir dimarahi, boleh sahaja mengamalkan ayat ini supaya Allah membantu meleraikan situasi itu sama ada dengan melembutkan hati orangnya atau dengan apa jua keadaan.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Rumaysho.com

The post Hampir Dimarahi? Ini Doa Yang Boleh Dibaca Untuk Mengelaknya first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.