Kasih Ayah Seperti Diam Ubi Tetapi Berisi
Tidak kenal waktu siang atau waktu malam, seorang lelaki yang bergelar ayah sanggup berkorban tenaga untuk mencari nafkah kepada ahli keluarganya.
Walau susah serta meninggalkan rasa kesakitan dan keperitan di sendi-sendi badan, lelaki ini tetap ‘keras’ menggunakan tulang empat keratnya semata-mata untuk membahagiakan kehidupan isteri dan membesarkan anak-anaknya.
Tetapi ada ketikanya anak-anaknya merungut. Pelbagai keinginan dan kemahuan yang dipinta. Mahukan mainan mahal, mahukan makanan yang enak dan sedap, mahu melancong dan pelbagai keinginan lain yang tidak pernah berakhir.
Kaki dihentak kasar dan tangisan kedengaran kerana inginkan apa yang dipinta. Bukan ayahnya tidak mahu memberi apa yang dimahukan anaknya. Sebenarnya di dalam lubuk hatinya tidak pernah sesekali mahu melihat anaknya kecewa dan dalam kesedihan.
Namun, hasil pendapatan yang ada tidak dapat digunakan kerana hasilnya di simpan pula. Di simpan untuk siapa? Simpanan untuk anak-anaknya di masa hadapan. Sang ayah sedang memikirkan masa depan anaknya.
Ketika itu anak kecil itu tidak pernah terfikir tentang kesusahan ayahnya. Yang difikir adalah ayahnya selalu sibuk mencari rezeki tidak kira waktu dan garangnya membuatkan dirinya merasa terasing.
Selain itu, mereka hanya mahukan keinginan mereka ditunaikan sahaja. Anak kecil itu menganggap ayahnya tidak sayangkannya. Ayahnya meminggirkannya. Sebenarnya bukan begitu…
Ayah Sayangkan Anaknya Dalam Diam
Teringat pada waktu kecil dahulu, ketika kita tertidur di atas kerusi di ruang tamu dan pada keesokan harinya kita sudah berada di dalam bilik tidur. Siap berselimut menutupi badan yang kesejukan dan agar nyamuk tidak menganggu tidur nyenyak kita.
Sedarkah kita siapa yang mengangkat kita semasa kita di dalam lena? Tanya pada ibu, ibu tidak mengangkat kita tetapi rupanya si ayah yang mengangkat kita lalu membawa masuk ke dalam bilik tidur.
Ya, kasih sayangnya jarang terlihat oleh seorang anak. Nampak seperti tidak mengendahkan kita. Selalu sahaja memarahi kita. Namun marahnya adalah tanda sayang.
Ayah sayangkan anaknya dalam diam. Kasihnya tidak kelihatan jelas tetapi kita dapat merasakannya dalam diam. Tidak seperti seorang ibu yang jelas menunjukkan kasih sayangnya kepada kita. Walau berbeza rentaknya, tetapi kasih sayang mereka tidak pernah pudar kepada anaknya.
Walau kadang kala kehendak anaknya tidak dapat dipenuhi, seorang ayah pasti akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk anaknya. Memberikan apa yang diperlukan anak-anaknya. Untuk kebaikan anak-anaknya di masa hadapan.
Ayah mana yang tidak sayangkan anaknya? Seorang ayah pasti akan sanggup melakukan apa sahaja untuk kebahagiaan keluarganya.
Mungkin kita yang tidak nampak tetapi jika kita merenung sejenak pengorbanannya sungguhlah besar dan tidak dapat terbalas.
Berterima Kasih Kepada Ibu Ayah
Marilah kita berbakti kepada mereka mengikut kemampuan kita. Ya, kebaikan yang kita berikan pasti tidak akan dapat menandingi jasa dan pengorbanan mereka berdua.
Namun, sekurang-kurangnya kita dapat memberi ucapan terima kasih kepada mereka melalui sedikit dan secebis usaha. Ada juga tanda usaha dan bukti kita menghargai pengorbanan mereka. Tetapi bagaimana?
#1- Mendoakan Kesejahteraan
Jangan lupa sertakan doa untuk mereka berdua setiap kali selepas kita menunaikan solat fardu. Tidak semestinya berdoa selepas solat fardu sahaja tetapi di solat-solat sunat yang lain pun jangan dilupakan.
Kita tidak mampu membalas jasa kedua orang tua kita tetapi janganlah melepaskan peluang dan masa yang ada untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan mereka berdua.
#2- Jangan Tinggikan Suara Dan Bercakap Kasar
Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” Surah al-Isra’ 17:23
Seorang anak haruslah menjaga lidah daripada bercakap kasar serta menyinggung perasaan kedua ibu bapanya. Janganlah sesekali menyakiti hati mereka.
#3- Gembirakan Hati Mereka
Untuk menggembirakan hati kedua ibu bapa kita tidak semestinya dengan memberi wang ringgit.
Ada pelbagai cara yang dapat membuatkan ibu bapa kita gembira seperti memasak masakan yang mereka suka, sering menjenguk dan menziarahi mereka, membawa mereka berdua mengerjakan ibadah umrah dan pelbagai lagi.
Hiburkan hati mereka mengikut keupayaan kita. Dengan kehidupan kita yang telah berjaya juga turut membuatkan hati mereka berdua gembira kerana melihat anaknya sudah berjaya.
Kesimpulan
Kita dilahirkan tanpa seurat benang dan tiada ada sebarang kekuatan. Kita lemah dan kita dibesarkan oleh kedua ibu bapa kita.
Dari sehari ke sehari, dari minggu ke minggu, dari bulan ke bulan hinggalah dari tahun ke tahun kita semakin membesar kuat, dan sihat.
Tanpa ibu bapa, siapalah diri kita. Hormati dan kenanglah jasa-jasa mereka berdua yang tidak dapat kita tandingi walau dengan harta kita yang membukit.
Dengan kesakitan, kepayahan, kepedihan dan segala keperitan telah mereka harungi adalah untuk melihat anak-anaknya berjaya di dalam kehidupan. Terima kasih ibu. Terima kasih ayah.
No comments: