Ads Top

Bagaimana Untuk Membudayakan Amalan Menabung

Kita menghampiri kepada bulan baru dalam Islam, iaitu Muharam yang merupakan detik dan nafas baru kepada seluruh umat Islam.

Untuk menghampiri bulan ini juga, ramai di kalangan kita yang akan bertanya, adakah azam lama kita sudah tercapai atau adakah kita sudah memperbaharui azam baru?

Rata-rata akan berbicara soal azam pada akhir Disember, namun yang selayaknya adalah sebelum memasuki bulan Muharam.

Antara azam yang mungkin juga menjadi topik dan perbualan hangat ialah soal pengurusan kewangan dan wang selain daripada topik jodoh atau impian yang dicapai.

Pasti ramai di kalangan kita yang akan memberi pandangan bahawa susahnya untuk mengumpul wang atau menyimpan disebabkan oleh taraf hidup yang tinggi atau terlalu mengikut nafsu untuk membeli kehendak yang tidak penting.

Oleh itu, untuk entri kali ini, kami akan merungkai beberapa tips dan motivasi mudah untuk anda yang mengalami masalah boros dalam berbelanja atau tidak konsisten dalam menyimpan.

#1 – Pastikan Perbelanjaan Tidak Melebihi Pendapatan

Ini merupakan kunci yang paling utama dalam permulaan kepada pengurusan kewangan anda. Tips yang paling berkesan ialah, catatkan gaji bulanan dan ke mana wang yang bakal digunakan untuk bulan tersebut seperti wang untuk ibu bapa anda di kampung, wang untuk membayar sewa rumah serta wang saku.

Ini adalah untuk mengelakkan daripada berbelanja lebih melebihi pendapatan dan juga untuk mengelakkan anda daripada berbelanja barang yang bukan keperluan dan kehendak penting.

#2 – Mula Menyimpan

Saat anda membaca entri di Tzkrh ini, saat itulah anda perlu letakkan niat di hati dan minda untuk menyimpan. Walau sedikit, namun lama-lama ia akan menjadi bukit.

Itu mungkin perumpamaan yang sudah dilupakan, namun itulah hakikat. Bermula dengan usaha yang sedikit pasti akan memberikan hasil yang tidak disangka jika anda istiqamah.

Hari ini, kita banyak melihat kisah inspirasi yang telah dikongsikan oleh warga net berkenaan bagaimana mereka mula menyimpan dan tidak pernah berputus asa.

Ada yang bermula dengan menyimpan RM1 sehari, ada pula yang bermula dengan meletakkan kepingan berwarna hijau di dalam tabung dan pelbagai lagi cara yang digunakan. Ia adalah bergantung kepada bagaimana cara yang minda anda telah tetapkan.

#3 – Bincang Mengenai Kewangan

Ramai di kalangan kita yang tidak suka untuk berbicara mengenai topik kewangan kerana menganggap bahawa ia adalah sesuatu yang bersifat peribadi hatta dengan keluarga sendiri.

Hakikatnya, ia adalah sebuah topik yang paling penting untuk membuat perancangan masa hadapan agar lebih terjamin. Sekurang-kurangnya orang terdekat seperti ahli keluarga atau isteri memahami pendapat kita dan setakat mana kemampuan kita untuk diri sendiri dan keluarga.

Ia adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang tidak memahami dan cenderung untuk mendesak kita memenuhi keperluan dan kehendaknya.

#4 – Ketahui Antara Keperluan Dan Kehendak

Sentiasa letakkan dalam minda bahawa tidak semua kehendak itu perlu ditunaikan. Belajar untuk membezakan keperluan dan kehendak supaya anda tidak akan mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi akhir tahun atau bulanan yang dilakukan.

Ingat, anda berbelanja untuk memenuhi keperluan dan bukannya untuk menunjuk. Menunjuk itu merupakan sebuah penyakit yang perlu dihindari kerana ia boleh membinasakan diri anda.

Ramai di antara kita pada hari ini suka untuk membeli benda yang tidak perlu dan juga untuk menunjuk. Elakkan diri daripada mengamalkan sikap yang demikian, bimbang pada akhir bulan, anda akan merintih untuk meminjam wang.

#5 – Pantau Kewangan Anda

Mula untuk mengambil berat akan keadaan kewangan anda. Ramai yang memandang enteng akan hal ini, namun ia adalah perkara yang perlu dipandang serius. Mulakan dengan melihat semula resit-resit yang ada dan catat di mana lebihnya wang anda pergi.

Ramai orang sering kaitkan dompet wanita dengan resit tetapi ramai orang lupa bahawa resit itu mempunyai banyak manfaat untuk melihat dan menjejak kembali ke mana wang kita dibelanjakan.

Lihat semula tips #1, iaitu perancangan perbelanjaan anda untuk bulan tersebut dan bandingkan dengan resit perbelanjaan yang telah dihabiskan. Adakah ia selari, atau jika tidak, ke mana ia pergi dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Ingat semula bagaimana anda diajar mengenai pengurusan kewangan ketika di bangku sekolah. Anda pasti pernah kenal buku Wang Saku atau Nuri yang diberikan kepada anda waktu itu untuk membantu anda menggunakan wang saku dengan betul.

Ia mungkin nampak kecil, namun sebenarnya ia merupakan langkah yang besar untuk diambil sebagi permulaan kepada mempunyai kewangan yang kukuh dan stabil.

Kesimpulan

Pegurusan kewangan merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan untuk menjadikan kita seorang muslim yang mengamalkan sikap waspada. Mungkin hari ini kita punya wang yang banyak, namun tidak siapa yang tahu bagaimana kita pada masa hadapan.

Jika kita mempunyai wang simpanan, sekurang-kurangnya kita sudah meletakkan dalam minda untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.