Ads Top

Block Dan Unfriend Di Media Sosial, Adakah Memutuskan Silaturahim?

“Weh, dia blocked aku!”

“Tak suka pun takkan sampai blocked”

Isu ‘blocked’ atau ‘unfriend’ bukanlah isu yang pelik atau baru. Malah sejak platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter diperkenalkan, telah ada fungsi ‘unfriend’, ‘unfollow’, ‘blocked’, atau ‘report’ yang disediakan.

Namun mengapa isu ini selalu menjadi perbualan mungkin kerana orang yang dihalang daripada melihat profil pengguna tersebut merasakan bahawa tindakan itu adalah suatu yang ‘tidak patut’, ‘kasar’ dan tidak matang. Namun alasan ini masih boleh diperdebatkan.

Rata-rata rakan pengguna media sosial yang saya tanya pula berpendapat bahawa tindakan ‘blocked’ atau ‘unfollow ‘ini bergantung kepada hak individu itu sendiri. Antara sebabnya mungkin tidak mahu post atau berita muncul pada paparan suapan berita (newsfeed) mereka. Ada pula yang beralasan bahawa berita-berita yang dikongsikan oleh rakan media sosial mereka keterlaluan dan tidak mengambil kira sensitiviti individu.

Namun muncul pula persoalan lain – adakah tindakan ‘blocked’ atau ‘unfollow’ ini seperti memutuskan silaturrahim? Kerana ada pula yang berpendapat bahawa ianya akan memberi kesan kepada hubungan sebenar di dunia nyata.

Apa Kata Al-Quran Dan Hadis

Banyak hadis yang bercerita tentang kewajipan untuk menjaga hubungan silaturrahim.

لا يحل لرجل أن يهجر أخاه المسلم فوق ثلاث ، يلتقيان فيعرض هذا ويعرض هذا وخيرهما الذي يبدأ بالسلام

“Tidak halal bagi seseorang apabila ia memutuskan hubungan dengan saudaranya sesama muslim melebihi tiga hari, keduanya saling bertemu namun saling tidak mempedulikan antara satu sama lain dan yang terbaik dari keduanya adalah yang memulai menegur dengan mengucapkan Salam.” (Hadis Riwayat AI Bukhari, no. 5727 dan Muslim, no. 2560 – Status hadis sahih)

Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dari Anas bin Malik R.anhu bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِيْ رِزْقِهِ، وَيُنْسَاَ لَهُ فِيْ أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ

“Barangsiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan usianya (dipanjangkan umurnya), hendaklah ia menyambung silaturrahim”.

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. (Surah An-Nisa 4:1)

Imam Nawawi rahimahullah berkata, bahawa silaturrahim adalah, “Berbuat baik kepada kerabat sesuai dengan keadaan orang yang berbuat baik dan orang yang menerima perbuatan baik itu. Terkadang silaturrahim itu dengan harta, jasa, mengunjungi, ucapan salam dan lainnya”. (Lihat Syarh Nawawi 1/287; Kamus Fiqih 1/145, karya Dr. Sa’di Abu Habib; Maktabah Syamilah)

Dari penjelasan di atas, ada dua makna silaturrahim yang boleh difahami. Pertama hubungan silaturrahim yang khusus melibatkan ahli keluarga, kaum kerabat dan saudara mara. Kedua, hubungan silaturrahim yang lebih umum iaitu dengan orang lain (di luar lingkup kelompok pertama) seperti rakan-rakan.

Adakah Memutuskan Silaturrahim Dibolehkan?

Imam Ibnu Abdi al-Barr ada berkata bahawa: Para ulama bersepakat bahawasannya tidak diperkenankan bagi seorang muslim memutuskan hubungannya dengan sesama Muslim yang lain melebihi tiga hari, melainkan jika memang ia khuatir apabila berhubungan dan mengajak bicara dengannya itu akan mengakibatkan kekacauan dalam beragama atau akan menimbulkan dalam dirinya apa yang boleh membahayakan urusan agama dan dunianya.

Jika memang itu yang dikhuatirkan akan terjadi apabila berhubungan dengan pelaku maksiat maka dibolehkan menjauhinya. Boleh jadi orang yang kelihatannya keras tapi memiliki hati yang mulia, itu lebih baik daripada orang yang sering bercengkerama dan bergaul dengan kita tapi seringkali pula dia menyakiti kita.” (Diambil dari kitab “ Thorhu At Tatsrieb” , 8/99 )

Hal ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW di mana tiga orang sahabat yang tidak ikut serta semasa Perang Tabuk kerana alasan yang tidak kukuh akhirnya dipulaukan buat beberapa ketika. Perintah tersebut dikeluarkan bagi memberi pengajaran kepada mereka kerana perang Tabuk berlaku di saat genting dan memerlukan sokongan semua umat Islam.

Imam Ibnu Abdi al-Barr berpendapat lagi bahawa hukumnya haram memutuskan hubungan silaturrahim ini jika ia berlaku disebabkan kemarahan peribadi yang tidak ada sangkut paut dengan urusan agama. Tetapi jika seseorang memutuskan hubungan silaturrahim disebabkan untuk menjaga maslahah keagamaan seperti: kemaksiatan, bid’ah dan hal-hal lain maka tidak dilarang.

Imam Nawawi pula berkata, seandainya seseorang melakukan sebahagian perbuatan silaturrahim yakni berusaha untuk membina hubungan silaturrahim, namun tujuannya untuk silaturrahim tidak tercapai, maka dia tidak dinamakan orang yang memutuskan silaturrahim(Syarh Nawawi, 8/345). Sekurang-kurangnya dia telah berusaha.

Berbalik semula kepada isu ‘blocked’ dan ‘unfriend’ orang di media sosial – adakah memutuskan silaturrahim atau tidak – Dr Zaharuddin Abd Rahman menganggap bahawa ia tidak lah bererti memutuskan hubungan silaturrahim.

‘Unfriend’ di Facebook bukan bererti memutuskan silaturahmi, cuma tidak sesuai diikat sebagai ‘friend’ di alam Facebook kerana sebahagian ‘features’ pada facebook menjadikan tidak sesuai.

‘Block’ di fanpage juga bukan bermaksud ‘putus silaturahmi’ namun hanya kerana kalam mereka tidak sesuai (menurut penilaian pemilik dan admin) untuk dipapar di fanpage.
Ia bukan sebab untuk bertengkar dan bergaduh atau bermusuhan. Ia hanya facebook”Dr Zaharuddin Abd Rahman

Berdasarkan perbincangan di atas yang telah ditampilkan daripada ulama dan ilmuwan, dapatlah difahami bahawa isu ‘blocked’ dan ‘unfriend’ di media sosial ini tidak perlu dianggap sangat serius sehingga memutuskan hubungan silaturahim.

Hubungan yang sebenar yang perlu dijaga adalah di dunia nyata. Platform media sosial hanya pemudah cara untuk kita berinteraksi dan mengetahui perkembangan orang lain. Akhirnya, semoga empat tips di bawah yang akan menutup artikel kali ini dapat membantu para pembaca di luar sana menanggapi isu ini dengan lebih baik.

1. Tidak perlu mengganggapnya sebagai suatu yang sensitif.

2. Setiap orang mempunyai pilihan masing-masing dan hak diri yang ingin dijaga – dengan ‘blocked’ atau ‘unfriend’, mereka mungkin tidak terdedah dengan suatu yang berbahaya daripada orang lain.

3. Dibolehkan untuk menjauhkan diri daripada orang yang dirasakan mampu membahayakan diri baik dari segi fizikal, kesihatan mental, urusan agama dan juga urusan dunia.

4. Hubungan silaturahim di dunia nyata perlu diutamakan.

Rujukan:
Islamqa.info
Almanhaj.or.id




No comments:

Powered by Blogger.