Ads Top

Fizz Fairuz Sudah Kenal Pasti Individu Disebalik Nama Makcik Puaka Dan Memintanya Tampil Ke Sidang Media

PELAKON Datuk Fizz Fairuz enggan menerima permohonan maaf akaun Instagram yang menyebarkan berita berunsur fitnah terhadapnya iaitu Makcik Puaka.

Menurut Fizz atau Mohd. Fairuz Zainal Abidin , 40, dia mahu individu yang mengendali akaun tersebut berjumpa dan memohon maaf dengannya secara terbuka di hadapan umum.

Malah, pelakon filem Munafik ini juga memberitahu pihak dia juga sudah mengenal pasti individu disebalik akaun tersebut.

“Sekarang ini saya tengah berbincang dengan peguam berkenaan dengan perkara itu. Saya tidak terima permohanan maaf yang hanya dilakukan di laman sosial.

“Memang saya beri masa seminggu dia minta maaf secara terbuka tapi bukan hanya menulis dan mesej saya di laman sosial. Saya dah dapat kenal pasti individu tersebut.

“Jadi, Saya mahu dia datang jumpa saya dan memohon maaf secara terbuka di hadapan umum,” katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

Fizz diminta mengulas mengenai permohonan maaf akaun IG yang menyebarkan berita memberi gambaran aktor itu adalah individu bergelar Datuk Seri dicekup khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Datin Almy Nadia ini memberitahu dia berkemungkinan akan mengadakan sidang media untuk pengendali akaun itu tampil memohon maaf secara terbuka pada 16 April ini.

Menurut Fizz, dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut tidak tampil pada tarikh yang telah ditetapkan.

“Peguam saya akan keluarkan kenyataan kepada individu tersebut untuk tampil menghadiri sidang media untuk dia memohon secara terbuka.

“Sekarang ini saya sibuk menjalani penggambaran tapi berkemungkinan sidang media itu akan diadakan pada 16 April ini.

“Saya nak dia datang minta maaf serta mengakui kesalahannya supaya menjadi pengajaran pada semua orang.

“Kalau dia tidak hadir, pihak saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Fizz meluahkan rasa kesal dengan fitnah tidak berasas disebarkan oleh akaun IG tersebut.

Malah, Fizz telah memberi tempoh satu minggu kepada pihak yang menabur fitnah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kredit:MstarOnline




No comments:

Powered by Blogger.