Ads Top

Tiga Penyanyi Hebat Wanita BCL, Ghea & Elly Mazlein Bakal Jayakan Konsert FARMASI Soundzation

Bunga Citra Lestari, atau lebih dikenali sebagai BCL sedia untuk kembali menebarkan haruman menerusi Konsert FARMASI Soundzation, November ini yang bakal melakar sejarah dalam industri muzik dan kecantikan, rantau ini sebagai sebuah malam paling ikonik.

Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G, berkata Konsert FARMASI Soundzation bakal menghadiahkan sebuah pengalaman luar biasa kepada audiens apabila gandingan seni muzik dan kecantikan mencernakan pengisian bermakna, antaranya dalam pemerkasaan wanita.

Dianjurkan oleh INT X Group, ia dijadual berlangsung di Megastar Arena, di sini, pada 30 November ini. Konsert diperindahkan oleh FARMASI, iaitu peneraju jenama kosmetik antarabangsa yang berpangkalan di Turkiye dengan pensijilan halal sebagai penaja utama.

Konsert FARMASI Soundzation menyaksikan elemen muzik dan kecantikan diadun menerusi persembahan hampir tiga jam oleh BCL dan Ghea, dan dihangatkan oleh kehadiran Elly Mazlein sebagai pengacara dan penyanyi, sekali gus mencipta gandingan tidak diduga.

“Sambil berhibur, ada mesej pemerkasaan wanita dibawa dalam konsert ini. BCL, misalnya dipilih bukan saja kerana popularitinya, tapi juga pesonanya yang menjadi lambang kebangkitan wanita. Ia bersesuaian prinsip kecemerlangan dan integriti yang dipegang FARMASI yang memperkasa kecantikan sejati daripada luaran dan dalaman.

“Begitu juga Ghea yang menyerlah, termasuk mengungguli pelbagai anugerah pada usia muda. Manakala Elly adalah penghibur serba boleh yang berupaya menguasai pentas, baik dalam interaksi dengan audiens mahu pun nyanyian. Elly tentunya menjanjikan malam yang lebih happening, seraya mencatat momen manis buat audiens kelak,” katanya.

Pemuzik legenda, Man Kidal bertindak sebagai Pengarah Konsert dan Muzik bagi konsert ini, dan Jerry Hend sebagai Pengarah Kreatif. Urusan promosi dikendalikan Mewah Event Management, manakala iLasso Tickets bagi pengurusan tiket.

Pengumuman bagi Konsert FARMASI Soundzation yang disempurnakan pada satu sidang media di Menara Kuala Lumpur, hari ini, turut dimeriahkan dengan kehadiran BCL, Ghea dan Elly, dan Presiden FARMASI, Emre Tuna. Juga hadir, Pengerusi Projek, Datuk Safizan Ikhzani.

Penganjuran konsert juga, menurut Ellie G, diberi definisi baharu oleh Konsert FARMASI Soundzation dalam meraikan 5,000 audiensnya yang secara automatik turut layak menyertai acara cabutan bertuah yang akan diadakan.

“Ini bukan konsert biasa, sebaliknya ia adalah malam untuk memberi balik kepada peminat yang menyokong industri seni tanahair, selama ini. Iaitu, selain dihiburkan gandingan

bintang popular Indonesia-Malaysia, sebuah kereta Bezza menanti audiens dalam cabutan bertuah.

“Malah tiada yang akan pulang dengan tangan kosong kerana setiap pemegang tiket juga boleh menebus hadiah, merangkumi rangkaian produk FARMASI yang berkelas dunia,” tambahnya.

Sementara itu, Emre Tuna, dalam satu kenyataannya, mengakui teruja melihat jenama itu yang dibangunkan syarikat keluarganya yang berusia 75 tahun bakal berkembang di Asia, akhirnya bermula dengan Malaysia.

“Ke mana saja FARMASI pergi, sama ada kami amat berjaya atau terlalu berjaya. Walau di negara mana, apa pun budayanya,” katanya, mengakui jenama itu kini merupakan peneraju dalam industri Jualan Langsung bagi kosmetik, penjagaan kulit dan nutrisi di dunia.

“Kami ada di 39 negara, meliputi lima benua. Ia adalah produk mewah mampu milik dan halal, dihasilkan di kilang kami sendiri di Turkiye yang juga kilang penghasilan kosmetik terbesar di Eropah, membolehkan kami menawarkan pelan pulangan terbaik dalam industri.

“Hanya dalam masa lima bulan ini, FARMASI dilancarkan di United Kingdom, Brazil dan Peru, selain Malaysia. Tapi Malaysia amat istimewa bagi FARMASI kerana ia adalah pasaran Asia pertama kami. Ia sangat signifikan dan kami yakin akan mencipta kejayaan di Malaysia.”

Datuk Safizan, dalam ucapannya pada majlis hari ini, menyifatkan integrasi industri hiburan dan kecantikan sepertimana penganjuran Konsert FARMASI Soundzation menjadi platform yang mewujudkan kemasukan pelaburan asing, seraya menyumbang kepada ekonomi negara.

“Pemilihan Malaysia sebagai pintu masuk jenama bertaraf antarabangsa seperti FARMASI ke Asia menjelaskan potensinya. Ini dizahirkan melalui gandingan BCL, Ghea dan Elly, sesuai dengan misi FARMASI dalam meraikan kecantikan dan individualiti,” katanya.

Tiket berharga RM288 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond) dan RM1,088 (VIP) boleh didapatkan secara online di www.ilassotickets.com

Info lanjut mengenai konsert juga boleh dilayari di Soundzation Official di semua platform media sosial.

The post Tiga Penyanyi Hebat Wanita BCL, Ghea & Elly Mazlein Bakal Jayakan Konsert FARMASI Soundzation appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.