Ads Top

The Sacred Riana 2: Bloody Mary Tampil Dengan Kisah Lebih Menyeramkan

Masih ingatkah anda dengan aksi seorang gadis berbaju merah, berselindung muka dengan rambut panjang, tidak bercakap dan membuat persembahan yang menyeramkan di atas pentas?

Gadis tersebut dikenali sebagai The Sacred Riana merupakan seorang ahli silap mata dan pakar ilusi yang berjaya mencipta fenomena dalam sebuah program realiti pencarian bakat antarabangsa. 

Nama sebenarnya Marie Antoinette Riana Graharani mempunyai bakat yang dianggap luar biasa sebagai seorang penghibur bukan saja di atas pentas tetapi di layar perak.

Selepas kejayaan filem ‘The Sacred Riana: Beginning’ pada tahun 2019, Riana muncul kembali dengan sekuel terbaharu berjudul ‘The Sacred Riana 2: Bloody Mary’. 

Diarahkan Billy Christian yang juga penulis skrip filem ini bersama Andy Oesman, filem sekuel ini pastinya ditunggu-tunggu ramai peminat The Sacred Riana termasuk penggemar filem seram.

Filem ‘The Sacred Riana 2: Bloody Mary’ mengisahkan Riana yang merindui patung kesayangannya iaitu Riani. Dia kemudian mendapat tahu patungnya itu berada di Asrama Elodia. 

Riana berhasrat datang ke asrama Elodia untuk mencari patung tersebut. Lalu, Riana meminta ibu bapanya agar dia berpindah sekolah ke asrama tersebut.

Asrama Elodia mempunyai peraturan dan disiplin yang ketat untuk mengawal tingkah laku pelajar-pelajarnya. Justeru, terdapat 100 cermin diletakkan di semua kawasan di asrama itu dengan tujuan pelajar di situ membatalkan niat melakukan sebarang perbuatan jahat akibat rasa malu melihat diri sendiri di dalam cermin berkenaan.

Meskipun pihak sekolah melakukan peraturan sedemikian, ada sekumpulan pelajar pula berasa seronok melakukan sejenis permainan ritual yang menggunakan cermin. Permainan tersebut yang pada mulanya bertujuan menakutkan pelajar baru bertukar menjadi tragedi yang menghantui pelajar-pelajar berkenaan.

Patung Riani dikatakan menjadi punca pada permainan ritual itu sehingga Riana berada dalam dilema sama ada membawa patung kesayangannya itu pulang atau mencari jawapan terhadap tuduhan yang dilemparkan pada patungnya itu.

Filem ‘The Sacred Riana 2: Bloody Mary’ dibawakan Antenna Entertainments Sdn Bhd selaku pengedar filem ini di sini, akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Oktober 2022. – KopiPlanet.com

The post The Sacred Riana 2: Bloody Mary Tampil Dengan Kisah Lebih Menyeramkan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.