Selepas Dua Dekad, Boboy Kembali Buat Kemunculan Dengan Single Baharu Tetap Bersama
Kumpulan remaja yang pernah mencetuskan fenomena pada awal era 2000, Boboy kembali disatukan selepas 20 tahun menyepi demi mengubati kerinduan dan penantian peminat mereka.
Projek penyatuan semula (reunion) kumpulan yang popular dengan lagu ‘Episod Cinta’ (2001) itu menjadi kenyataan akhirnya susulan kejayaan vokalisnya, Naqiu yang bergiat aktif secara solo selepas bergelar Juara Gegar Vaganza (GV) 6 pada 2019.
Menurut Naqiu, impian untuk disatukan dengan Boboy didorong oleh permintaan yang tinggi daripada para peminat sejak penyertaannya dalam GV6. Berikutan perbincangan dan perancangan yang rapi dengan pihak pengurusan, MindOrder Management Sdn Bhd, hasrat itu direalisasikan pada tahun ini selepas mendapat kesepakatan dengan tiga lagi anggota asal Boboy.
“Saya bersyukur projek ‘reunion’ dengan abang-abang saya ini menjadi kenyataan akhirnya. Pada mulanya, saya mensasarkan untuk ‘reunion’ pada hujung 2021 tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana komitmen jadual saya yang padat ketika itu.
“Apabila buka saja tahun baharu, kami berbincang semula. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan projek ‘reunion’ ini pun bermula sejak April lalu. Kami giat memperkemaskan skil bermain muzik, mengkaji dan menimba ilmu baru trend muzik dan berlatih secara konsisten. Proses ‘reunion’ ini lancar kerana hubungan kami memang akrab dan baik walaupun 20 tahun tidak aktif sebagai artis profesional.
“Cuma, sebelum saya muncul secara solo tiga tahun lalu, kami kurang yakin untuk aktif semula sebagai band. Namun, permintaan yang berterusan itu membakar semangat kami. Lebih manis lagi, ‘reunion’ ini membabitkan kesemua anggota asal Boboy,” katanya.
Selain Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36 (vokalis), Boboy turut dianggotai oleh Shah (Shah Azrizal Kamaruzaman, 38) di posisi gitar utama, Didi (Mohd Addinan Azmi, 38) bermain bass dan Dzul (Dzulhamdi Badrom, 38) bermain dram.
Susulan ‘reunion’ ini, Boboy terus mengorak langkah dengan melancarkan lagu terbaharu berjudul ‘Tetap Bersama’ di semua platform penstriman digital bermula 22 Julai 2022. Lagu ciptaan Naqiu dan lirik Wit & Mohsen ini adalah strategi kedua di bawah pelan projek ‘reunion’ mereka.
Terdahulu, kumpulan ini muncul buat julung kali di khalayak umum selepas dua dekad menerusi program ‘Konsert Minggu Ini’ yang disiarkan pada 14 Mei lalu di RTM.
The post Selepas Dua Dekad, Boboy Kembali Buat Kemunculan Dengan Single Baharu Tetap Bersama appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: