Tya Arifin Teruja Kali Pertama Berlakon Dengan Izara Aishah Menerusi Drama Pendek Bagaikan Raya
Buat julung kalinya dalam sejarah, dua menantu penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Izara Aishah dan Tya Arifin telah bergandingan dalam sebuah drama pendek khas untuk kempen raya Mutyara berjudul Bagaikan Raya.
Tya yang juga pengasas jenama Mutyara berkata, sudah menjadi tradisi syarikatnya menghasilkan sebuah karya yang unik sempena sambutan Aidilfitri.
“Saya teruja dan tidak sabar kerana ini kali pertama saya dan Izara bergandingan dalam sebuah drama. Saya agak gementar, sebelum ini sebagai satu keluarga, kami sudah biasa makan dan menghadiri acara bersama-sama cuma tidak sangka boleh berada satu ‘frame’ dengannya.
“Bagi saya Izara Aishah seorang pelakon yang hebat di Malaysia. Sangat senang bekerja dengannya, kalau tahu daripada dahulu berlakon bersama,” kongsi Tya.
Ujarnya, pada tahun lalu pihaknya telah bergandingan dengan pelakon terkenal, Fauziah Nawi menerusi drama Sesudu Kebahagiaan.
Dalam pada itu, Tya memberitahu ini adalah pengalaman pertamanya memegang watak yang berbeza iaitu menjadi orang utara.
“Dalam drama Bagaikan Raya, ini kali pertama saya berlakon sebagai orang utara. Sebelum ini tiada yang menawarkan watak sebegitu, biasanya saya hanya mendapat watak orang Indonesia sahaja,” ujar Tya.
Sementara itu, Izara yang juga kakak ipar kepada Tya mengakui teruja untuk bergandingan dalam sebuah naskhah raya bersama yang penggambarannya dilakukan pada awal Ramadan lalu.
“Ini kali pertama kali saya berlakon dengan Tya. Alhamdulillah, tidak berasa janggal, dan saya gembira mungkin sebab sudah biasa dengan dia. Semuanya berjalan dengan lancar.
“Sebenarnya, ini kali pertama juga saya melihat dia berlakon, dia seorang yang sangat teratur apabila bekerja,” tutur Izara yang akan menyambut raya di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Tahun ini, drama pendek Bagaikan Raya diinspirasikan daripada kisah duka pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan kehilangan insan tersayang. Drama pendek ini mengisahkan dua adik-beradik yang sangat rapat.
Disebabkan pandemik hampir dua tahun mereka tidak dapat pulang beraya di kampung. Justeru, mereka teruja dapat merentas pulang dan beraya bersama pada tahun ini.
Di sebalik tawa riang dalam kesibukan pulang dan membuat persiapan raya, namun ada ujian berat yang perlu ditempuh mereka dan membuatkan raya kali ini cukup berbeza.
Tya dan Izara mengharapkan drama pendek Bagaikan Raya lakonan mereka sedikit sebanyak dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri ‘keluarga’ Mutyara, peminat dan orang ramai.
Drama pendek Bagaikan Raya mula bersiaran pada 22 April lalu di Instagram Tya Arifin dan Izara Aishah serta di saluran YouTube, The Tya’s Family. – KopiPlanet.com
The post Tya Arifin Teruja Kali Pertama Berlakon Dengan Izara Aishah Menerusi Drama Pendek Bagaikan Raya appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: