Ads Top

Nabila Huda Dituntut Buat Permohonan Maaf & Bayar RM900,000 Berhubung Kes Fitnah Siber Terhadap Seorang Aktivis

Seorang aktivis, Fatimah Zaharah Rahim yang mendakwa dirinya telah difitnah pelakon dan pengacara Melodi, Nabila Huda Suhaimi di laman media sosial Instagram dan Twitter pada tahun lalu, mula mengambil tindakan undang-undang dengan menuntut permohonan maaf.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, surat tuntutan telah dihantar melalui serahan tangan oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili aktivis tersebut kepada Nabila Huda pada 20 Januari lalu yang antara lain turut meminta ganti rugi fitnah sebanyak RM900,000, di mana tuntutan tersebut dibuat setelah aktivis itu mendapat nasihat daripada barisan peguamnya.

Sebelum ini, aktivis tempatan itu mendakwa Nabila telah menyebarkan berita palsu dan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah pada 25 Disember tahun lalu dengan memuat naik, menulis dan menerbitkan melalui aplikasi Instagram dengan nama pengguna @kupu-kupu.

Aktivis berkenaan mendakwa yang pelakon itu telah mendedahkan beliau kepada kebencian orang ramai apabila melihat dan membaca apa yang telah ditulis dan diterbitkan oleh pelakon tersebut

Nabila Huda didakwa telah menyiarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah yang membawa maksud yang aktivis tersebut adalah seorang yang bangsat, bodoh, pencuri, mengambil dan memberi barang sumbangan orang lain namun mengakui barangan tersebut adalah daripadanya, mengambil kesempatan ke atas orang lain dan lain-lain kenyataan.

Pada tarikh yang sama, Nabila Huda juga didakwa telah memuat naik gambar aktivis  dan menerbitkan satu penyiaran yang mana kenyataan-kenyataan tersebut membawa maksud yang aktivis tersebut telah memberi barang sumbangan yang bukan miliknya namun menyatakan bahawa barang sumbangan tersebut adalah daripada beliau dan mengambil kesempatan ke atas orang lain.

Kenyataan-kenyataan yang didakwa fitnah dan berita palsu tersebut telah dikongsi dan ditonton di pelbagai platform media sosial yang lain termasuk di platform Youtube, laman-laman portal berita dan juga saluran media.

“Anak guam, Fatimah Zaharah tidak pernah melakukan seperti apa yang didakwa Nabila Huda dan beliau telah menerima kecaman, ugutan dan komen-komen yang tidak benar daripada masyarakat berikutan kata-kata yang dikongsikan oleh pelakon tersebut,” tambah Nurul Hafidzah lagi.

Sekiranya tiada permohonan maaf, pembayaran gantirugi RM900 ribu atau gantirugi yang setimpal dengan kesan daripada tindakan dakwaan fitnah tersebut dalam masa tujuh hari selepas penerimaan surat tuntutan, aktivis tempatan itu akan terus memfailkan tuntutan di mahkamah.  

Aktivis itu juga mendakwa yang perkara tersebut telah menyebabkan beliau mengalami malu, tekanan emosi dan kesedihan apabila masyarakat mempercayai dakwaan berita palsu dan fitnah yang telah dimuat naik dan diulang siar oleh pengguna-pengguna media sosial yang lain setelah melihat “postings” tersebut.

Beliau seterusnya mendakwa yang fitnah dan berita palsu it juga telah turut memberi kesan buruk kepada ahli keluarga beliau.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan dibantu oleh peguam bersama Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid. – KopiPlanet.com

The post Nabila Huda Dituntut Buat Permohonan Maaf & Bayar RM900,000 Berhubung Kes Fitnah Siber Terhadap Seorang Aktivis appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.