Ads Top

Din & Kid Akui Kecewa Masalah Disiplin Mereka Dikatakan Jadi Punca Amy Undur Diri Kumpulan Search

Pemain gitar kumpulan Search, Kid dan Din meluahkan rasa kecewa dengan pendedahan Amy apabila memberikan alasan masalah disiplin mereka sebagai punca pengunduran dirinya daripada kumpulan tersebut.

Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Mohd Taib berkata, dia sebenarnya enggan mengulas lanjut mengenainya kerana ia lebih bersifat peribadi dan seharusnya diselesaikan di belakang tabir.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ulas sangat tentang hal ini dan lebih sesuai jika kami berhubung sesama sendiri dan berbincang.

“Hal ini membabitkan soal dalaman, nanti kalau berbalas ia akan berlarutan. Jika saya buat seperti apa yang mereka lakukan, tiada bezalah cara kami berfikir dengan mereka,” katanya.

Kid mengulas tentang pendedahan Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman yang mendakwa punca pengundurannya daripada Search adalah disebabkan oleh sikap tidak profesional Kid dan Din.

Misalnya, Kid dan Din didakwa sering tidak hadir pada sesi latihan dan promosi album. Selain itu, Amy menyatakan Din juga tidak menghabiskan bahagiannya ketika rakaman album Katharsis yang diterbitkan pada 2017.

Sementara itu, Din atau Nordin Mohd Taib berkata, pihak Amy perlu menjawab dahulu pertanyaannya menerusi sesi siaran langsung yang dibuat sebelum memberi alasan lain terhadap pengundurannya.

“Kenapa mereka tidak menjawab persoalan yang saya utarakan? Jika mereka boleh jawab, pastinya saya boleh jawab persoalan mereka terhadap saya. No such thing about discipline or whatsoever.

“Mereka jangan buat cerita lain. Sebab itu saya tak komen apa-apa kerana tidak mahu bergaduh. Kalau buat kenyataan, memang tidak akan habis. Saya tidak suka personal attack, you come and see me. Kita family, ada problem kita bincang,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Amy yang mahu menggunakan nama Search pada kumpulan baharu yang ditubuhkan bersama gabungan anggota asal iaitu Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, Kid mempersoalkan siapa sebenarnya yang bertindak mahu keluar daripada Search sebelum ini.

“Siapa yang undur diri? Saya rasa pertanyaan saya itu sudah menjawab persoalan. Dia dah keluar, jadi sesuai atau tidak dia gunakan nama tersebut jika sudah berundur?

“Memang benar Hillary Ang merupakan pengasas, tetapi adakah anda akan memilih berdasarkan pengasas atau anggota terakhir yang bekerjasama secara bersama untuk album terakhir? Pengasas atau anggota yang terlibat dengan pembikinan beberapa album, siapa lebih layak guna nama Search?,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

The post Din & Kid Akui Kecewa Masalah Disiplin Mereka Dikatakan Jadi Punca Amy Undur Diri Kumpulan Search appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.