Hukum Solat Bagi Pesakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah sejenis penyakit penuaan sel otak (neurodegeneratif) yang bermula secara perlahan-lahan dan akan semakin memburuk dari semasa ke semasa. Menurut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 60% pesakit Alzheimer akan mengalami demensia iaitu nyanyuk.
Orang yang mengalaminya akan menghadapi kesukaran untuk mengingati peristiwa yang baru berlaku. Selain itu, antara kesan lain yang boleh dilihat ialah sukar menuturkan perkataan, perubahan mood, semakin hilang kemampuan untuk mengurus diri sendiri serta masalah tingkah laku.
Penyakit yang sinonim dengan warga tua ini biasanya meningkat seiring dengan pertambahan usia. Puncanya masih belum benar-benar difahami, namun dikaitkan dengan genetik, sejarah kecederaan kepala, serta pembentukan plak dan kekusut neurofibrilari di otak.
Berkenaan tanggungjawab dalam ibadah seperti solat – adakah golongan yang menghidap Alzheimer ini masih dipertanggungjawabkan untuk menunaikannya?
Dalam membahaskan perkara ini, kami memetik hasil pandangan yang telah disebutkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan berdasarkan informasi yang disunting oleh Dr Tania tentang penyakit ini.
Penyakit ini dibahagikan kepada tiga peringkat. Pada peringkat pertama, golongan yang menghidap penyakit Alzheimer masih mampu mengurus diri sendiri dan mampu menyertai sebahagian aktiviti sosial. Pada peringkat kedua (pertengahan) pula terdapat ciri di mana mereka mula perlu dibantu untuk melakukan sesuatu. Manakala peringkat ketiga dan merupakan tahap serius adalah seperti berikut:
– Kesukaran makan dan menelan
– Kesukaran untuk mengubah posisi atau bergerak tanpa bantuan
– Penurunan atau kenaikan berat badan yang drastik
– Sering buang air besar secara tidak sengaja
– Kesukaran untuk berkomunikasi
– Perubahan emosi dan sifat
– Tidak mampu lagi melakukan aktiviti normal akibat hilangnya ingatan mengenai tahap melakukan aktiviti seharian seperti mandi, makan dan buang air besar.
Bagi tahap pertama dan kedua, kewajipan solat masih lagi perlu dilakukan dengan bantuan kaum keluarga atau rakan-rakan bagi memudahkannya melakukan ibadat solat.
Manakala jika berada pada tahap ketiga sehingga kelupaan yang parah dan ingatan yang lemah sehingga membawa kepada keadaan tidak ingat apa-apa, penghidap Alzheimer ini dianggap seperti ma’zur (yang diuzurkan dan tidak ditaklifkan) yang tidak tertanggung atas mereka sebarang kewajipan lagi seperti tidak wajib solat.
Hal ini kerana mereka tergolong dalam orang yang ‘kharaf’ (kembali kepada keadaan ketika kanak-kanak kecil yang dhaif, lemah dari segi akal dan kurang faham).
Jika keadaan nyanyuk yang dialami pula dalam tempoh sekejap, atau sesekali berlaku, dia juga tidak dikira taklif (menanggung beban tanggungjawab) selama dalam keadaan ingatannya tidak stabil.
Walaubagaimanapun, bagi mendapat kepastian yang lebih lanjut dalam memahami keadaan penghidap Alzheimer, pakar-pakar perubatan perlu terlebih dahulu dirujuk. Wallahua’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: