Ads Top

Bolehkah Berwuduk Dengan Air Dari Pendingin Hawa

Tugas pendingin hawa adalah untuk memindahkan haba dari dalam rumah ke luar untuk menjadikan rumah anda sejuk dan dingin. Ia mengeluarkan udara yang sejuk ke dalam rumah dengan menggunakan bahan kimia yang menukarkan gas kepada cecair dan kemudian akan berubah menjadi gas semula. Penggunaan bahan kimia inilah yang memindahkan haba dari udara ke dalam kawasan yang tertutup.

Pendingin hawa terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu kompresor, kondesor dan penguap. Kompresor dan kondesor biasanya terletak di luar rumah, manakala penguap pula terletak di dalam kawasan rumah.

Menjaga penyelenggaraan pendingin hawa dengan baik adalah salah satu perkara yang paling penting yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kecekapan dan mengelakkan fungsinya terganggu. Antara masalah yang sering kita lihat ialah kadang-kadang air daripada pendingin hawa ini akan menitis.

Apabila dilihat daripada tekstur air tersebut, ia adalah seperti air biasa yang sering kita gunakan bersuci. Menjadi persoalan di sini, adakah dibolehkan menggunakan air yang keluar daripada pendingin hawa ini untuk berwuduk jika berlakunya situasi-situasi seperti ketiadaan air dan sebagainya?

Sebelum itu, perlu diketahui bahawa air yang keluar daripada pendingin hawa itu sebenarnya datang daripada takungan yang berada di bawah gegelung pendingin (cooling coil) yang berbentuk longkang. Air dari takungan itu akan disalurkan keluar ikut paip air buang.

Sebenarnya, air yang berada di dalam pendingin hawa tersebut adalah proses biasa yang menyebabkan angin yang menarik masuk pada suhu bilik akan menyejukkan molekul air dalam udara. Proses yang dinamakan pemejalwapan inilah yang akan mengubah gas kepada cecair.

Ia keluar daripada pendingin hawa kerana takungan di dalamnya telah tersumbat akibat habuk-habuk di dalamnya. Itulah yang akan menyebabkan air melimpah dan menitik keluar daripadanya.

Menurut Encyclopedia Britannica, proses kondensasi ini berlaku secara sama dalam proses penghasilan awan, yang menurunkan hujan dan embun. Adapun, sifat air ini adalah sama dengan air embun dan boleh digunakan untuk bersuci.

Menurut pendapat yang dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad al-Syatiri – “Adapun, saranan untuk bersuci, maka ia adalah air. Air itu asal semua benda. ia adalah suatu yang turun dari langit dan membuak dari bumi, atas apa pun sifatnya.

Para saintis mengatakan air itu (pendingin hawa) adalah suatu campuran (molekul) yang terbina daripada dua bahan (atom), iaitu oksigen dan hidrogen. Kedua-duanya wujud dalam pada air secara mutlak sekalipun pada cecair yang meleleh daripada pendingin hawa, maka di atas sebab ini boleh diqiyaskan dengan apa yang gugur daripada pepohon selagi ia dipanggil air berdasarkan apa yang zahir.” (Syarh al-Yaqut al-Nafis, 61)

Justeru, menerusi pendapat yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah , air yang dikeluarkan oleh pendingin hawa adalah air mutlak dan boleh bersuci selagi mana mana tidak tercemar dengan najis atau perkara yang boleh merosakkannya.

Adapun, jika ada yang bimbang sama ada air tersebut boleh memberi kesan kepada kulit dan sebagainya, maka perlu dielakkan atau mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar kesihatan.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.