Karyaloka Studios Pilih Genre Seram, Bakal Terbitkan Filem Sulung Dasim Laknat
Syarikat produksi Karyaloka Studios Sdn Bhd mengumumkan pelancaran filem sulung terbitannya berjudul Dasim Laknat yang akan memulakan penggambaran pada Januari 2025 depan.
Filem bergenre seram ini bakal dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Fattah Amin, Nabila Huda, Adi Putra serta ramai lagi selain meletak sutradara muda, Waan Hafiz sebagai pengarahnya.
Mengangkat tema serta genre pilihan utama penonton Malaysia iaitu seram, filem Dasim Laknat yang menelan kos perbelanjaan sekitar RM2 juta ini dilihat menjadi inisiatif positif bagi merancakkan industri perfileman tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Ekskutif Karyaloka Studios Sdn Bhd (KSSB), Muhammad Ilham Che Halim atau lebih dikenali sebagai Ilham Abata, filem Dasim Laknat adalah pertaruhan sulungnya selaku penerbit dan menjadi sebuah naskhah pertama di bawah syarikat produksi miliknya.
“Jalan cerita filem ini ditulis oleh saya sendiri yang mengambil inspirasi dari kejadian sebenar. Saya melihat senario yang pernah terjadi dalam kehidupan sendiri khususnya rumahtangga ini menarik untuk dikongsikan bagi memberi pengajaran atau setidaknya peringatan kepada yang lain cuma ia disampaikan dalam terjemahan sebuah filem.
“Jujur setiap plot yang saya wujudkan dalam Dasim Laknat adalah dari kisah saya sendiri yang mana ia sangat memberi tekanan kepada saya ketika itu. Isu bisikan syaitan atau jin yang boleh mengganggu gugat sesebuah institusi rumah tangga bukanlah sesuatu yg remeh sebaliknya ia sememangnya realiti yang membimbangkan terutamanya kepada pasangan muda,” tambahnya yang mula menulis skrip filem ini sekitar dua tahun lalu.
Elemen seram dalam filem ini bukan seperti kebiasaan serta setiap karakter yang diwujudkan juga sangat menarik membuatkan kesemua pasukan produksi sudah melihat potensinya. Justeru kata Ilham, beliau tidak teragak untuk menjadikannya pelaburan sulung KSSB.
“Kredibiliti Waan Hafiz sendiri kita boleh lihat pada filem arahannya, Don Dukun yang kini sedang ditayangkan. Begitu juga dengan nama barisan pelakon yang saya fikir mantap dan bersesuaian untuk setiap watak yang ada. InshaAllah Dasim Laknat akan menepati selera kaki wayang tempatan,” katanya yang baru saja menyertai program Muzikal Lawak Superstar 2024 tayangan Astro Warna.
Ilham Abata yang kini berusia 36 tahun mula mencipta nama apabila mendapat tempat ketiga dalam program Gegar Lawak pada tahun 2018 bersama kumpulannya Abata. Malah graduan jurusan Pengajian Warisan dari Universiti Malaysia Kelantan ini turut pernah menyertai beberapa program lain termasuk Raja Lawak dan Maharaja Lawak Mega.
Perancangan strategik KSSB ini disifatkan satu eksperimen peribadi buat Ilham yang bersungguh untuk menceburi bidang penerbitan selain mengukuhkan profilnya selaku usahawan seni serta pengarah. Jelasnya, tiada yang mustahil untuk digapai jika ada kesungguhan.
“Saya memang sudah lama mengimpikan untuk menerbitkan sebuah filem memandangkan saya sendiri terbabit dengan aktif dalam lapangan seni. Cuma kali ini saya mengambil langkah lebih berani dengan membangunkan syarikat sendiri dan mengumpul dana serta pelabur untuk merealisasikan impian membikin filem ini,” katanya.
Dasim Laknat juga diumumkan bakal menjalankan kerjasama dengan pihak Skop Production Sdn Bhd selaku rakan pengedaran dan promosi. Usahasama antara KSSB dan Skop Production ini juga dilihat satu inisiatif yang sangat baik selain boleh dijadikan penanda aras kepada syarikat produksi baru yang ingin menimba ilmu dalam lapangan penerbitan filem tempatan.
Filem Dasim Laknat juga akan menjalankan penggambaran lebih kurang sebulan di sekitar Kedah dan Perlis bermula Januari depan dan dijangka menjalani proses suntingan pada Ramadan depan. – KopiPlanet.com
The post Karyaloka Studios Pilih Genre Seram, Bakal Terbitkan Filem Sulung Dasim Laknat appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: