Ads Top

Tilit-Tilit Cinta Cipta Sejarah, Jadi Drama Dialek Sarawak Pertama Tayang Di Netflix

Tilit-Tilit Cinta (Spying Your Love) cipta sejarah apabila menjadi drama dialek Sarawak pertama yang akan ditayangkan di Netflix yang bermula pada 16 September lalu.

Diedarkan oleh MyContent Distribution, drama bersiri 13 episod terbitan Vian Media ini merupakan adaptasi dari teater berjudul ‘Latiff vs Maryam’, karya asal Arshad Adam.

Pembikinan drama bersiri ini dibiayai oleh FINAS melalui Dana Kandungan Digital (DKD). Tilit-Tilit Cinta merupakan antara 9 (sembilan) penerima DKD melalui program TVS Pitch It Siri 1/2020. Drama ini telah ditayangkan di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV tahun lalu, bermula 9 Oktober dan tamat pada 21 November 2021. 

Berkisar mengenai kisah percintaan penuh romantik dan jenaka, watak lelaki dan wanita utama, Ujang dan Merry dilakonkan oleh Haziq Fadhullah dan Dee Dee A’iene.

Tilit-Tilit Cinta diarahkan oleh Josh Nawan, turut dibintangi pelakon-pelakon pembantu Kahar Jini, Yana Melanos dan Javenson Serit, manakala OST-nya, “If You Don’t Love Me Now” merupakan ciptaan Farouk Kamil dan dinyanyikan Steff Fleur. Kesemua bakat tersebut adalah anak jati Sarawak. 

Turut hadir di majlis pengumuman khas tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah FINAS Sarawak, Maffizan Saupie; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Rizal Zulkapli; Pengarah Urusan MyContent Distribution, Lyn Nasihin dan Jason Chong, Penerbit Eksekutif Vian Media.

“Matlamat kami di MyContent Distribution adalah untuk mengembangkan industri kandungan kreatif di Malaysia dengan mengedarkan karya kandungan kreatif tempatan ke platform-platform penstriman global,” ujar Lyn, juga anak jati Sarawak di dalam ucapannya.

Tambah beliau, ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat produksi tempatan menghasilkan lebih banyak karya yang boleh dipasarkan untuk tontonan antarabangsa, seperti Tilit-Tilit Cinta.

Sementara itu, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Finas turut mengucapkan tahniah dan berkata, “FINAS sangat mengalu-alukan terbitan yang boleh dibawa ke peringkat global. Usaha pihak MyContent Distribution untuk memasarkan Tilit-Tilit Cinta ke Netflix adalah satu inisiatif terpuji dan harus dicontohi oleh syarikat produksi tempatan lain.”  

“Ini bukti bahawa karya penggiat kandungan kreatif Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri dan versatil, sesuai untuk tontonan masyarakat di seluruh pelosok dunia. Menggunakan dialek Sarawak sepenuhnya dan memaparkan kepelbagaian sosiobudaya di negara ini, kami yakin Tilit-Tilit Cinta akan berjaya menambat hati penonton,” ujar beliau lebih lanjut.

Memberi galakan kepada pemain industri untuk terus berkarya, Rizal di dalam ucapannya pula memberitahu bahawa permohonan TVS Pitch-It Siri 2/2022 telah pun dibuka bermula 1 September sehingga 20 Oktober 2022 dan menyeru penggiat industri kandungan kreatif tempatan untuk menghantar idea mereka. – KopiPlanet.com

The post Tilit-Tilit Cinta Cipta Sejarah, Jadi Drama Dialek Sarawak Pertama Tayang Di Netflix appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.