Ads Top

Alami Anxiety, Scha Elinnea Akui Sukar Lelapkan Mata Seorang Diri & Perlu Ditemani Ketika Tidur

Sebelum ini, pelakon yang semakin meningkat naik, Scha Elinnea mendedahkan dirinya yang mengalami anxiety dan sehingga kini masih lagi mendapatkan rawatan daripada doktor.

Scha berkata, masalah berkenaan ternyata memberi kesan kepada kehidupannya, termasuk berhadapan dengan insomnia sehingga sukar melelapkan mata dan perlukan teman untuk tidur.

“Memang saya tak boleh duduk seorang, malam sampai susah nak tidur seorang diri kerana akan timbul perasaan takut dan rasa tak selesa. Dulu pernah saya tidur pukul 8.00 pagi sebab berseorangan di rumah.

“Ia bukanlah disebabkan saya takut hantu, cuma memang sukar nak tidur apabila seorang diri. Biasanya, saya ajak kawan baik atau pembantu peribadi datang rumah untuk temankan saya tidur,” jelasnya.

Scha berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media program realiti terbaharu terbitan TV3, Master In The House Malaysia yang diadakan di Petaling Jaya Performing Arts, Petaling Jaya semalam.

Mengenai anxiety yang dialaminya, pelakon itu menyatakan dia sudah lama mengalaminya, tetapi keadaan menjadi semakin teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya dah lama menghidap anxiety iaitu sejak sekolah menengah lagi, namun saya tidak mahu kongsi dengan orang ramai. Cuma paling teruk penyakit ini menyerang semasa PKP dulu, sampaikan saya masuk hospital selama dua hari. 

“Sejak itu saya mula sedar kesihatan mental juga perlu diberi perhatian dan sebab itulah saya terbuka bercerita supaya mereka yang menderita berpeluang untuk berkongsi tentang penyakit ini,” ujarnya.

Jelasnya, sehingga kini dia masih lagi berjumpa doktor sebulan sekali untuk pemantauan dan keadaan semakin baik. 

“Saya bersyukur sebab ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa mengambil berat dan memberikan kekuatan untuk saya melawan penyakit ini,” ujarnya.

Bercakap mengenai Master In The House Malaysia, program ini akan memulakan siaran bermula Sabtu ini pukul 10 malam.

Selain Scha Elinnea, program ini turut menampilkan empat lagi selebriti iaitu Hael Husaini, Andi Bernadee, Sharifah Rose dan Meyrasam yang akan berguru dengan lapan orang ‘master’ disegani dari Malaysia dan Korea.

Bintang terkenal yang menjadi master mingguan ialah BamBam, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Yusof Haslam, Datuk Rashid Sidek dan koreografer kumpulan Kpop BTS iaitu Son Sung Deuk. – KopiPlanet.com

The post Alami Anxiety, Scha Elinnea Akui Sukar Lelapkan Mata Seorang Diri & Perlu Ditemani Ketika Tidur appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.