Ads Top

Filem Hantu Mok Jah Gabungkan Elemen Seni Moden & Traditional, Tampilkan Amerul Affendi Sebagai Penari Mak Yong

Tidak dinafikan filem atau drama yang mengetengahkan dialek Kelantan dilihat sering berjaya menarik perhatian penonton Malaysia seperti Mael Totey The Movie, telefilem yang pernah tular tahun 2018 iaitu Pok Ya Cong Codei, serta filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25, Bunohan dan banyak lagi.

Terbaru, sebuah lagi filem dengan dialek Kelantan yang mengetengahkan genre seram komedi, Hantu Mok Jah yang merupakan terbitan produksi Kentang Hijau Universal Production dan diarahkan oleh Asri Baq’U.

Filem yang menjalani sesi penggambaran di Kota Bharu, Kelantan ini menampilkan pelakon berbakat besar tanah air seperti Amerul Affendi (sebagai Yem), Fauziah Nawi (Mok Joh) dan Aloy Paradoks (Heri) sebagai teraju utama. Menariknya, Amerul Affendi sekali lagi mempertaruhkan bakatnya dengan membawa watak yang memerlukan bertutur dalam loghat Kelantan dan menjadi penari Mak Yong.

Penerbit Eksekutif Filem Hantu Mok Joh, Udin Sham berkata, Hantu Mok Joh merupakan filem pertama terbitan Kentang Hijau Universal Production dan idea asal oleh pengarah filem ini sendiri iaitu Asri Baq’U.

“Pihak kami cuba menampilkan kelainan dengan menggabungkan elemen seni moden dan tradisional. Tambah menarik, dialog filem ini mengangkat budaya Kelantan dan memaparkan kisah kehidupan masyarakat setempat yang amat dekatdengan kita. Menerusi filem ini juga, kami cuba membariskan gabungan pelakon berbakat dan ‘influencer’ (pempengaruh) media sosial bagi menjayakannya.

“Manakala skrip yang ditulis oleh Engku Seri Kelantan dan Aloy Paradoks bukanlah dialog semata-mata, tetapi turut menyelit mesej-mesej tersirat dengan unsur pengajaran. Dengan kehadiran Hantu Mok Joh ini, kami mengharapkan filem ini bukan sahaja dapat menarik penonton di pantai timur sahaja, tetapi seluruh penonton Malaysia, dan terutamanya pencinta seni,” jelasnya.

Kisah Hantu Mok Joh bermula apabila pelbagai andaian mula muncul rentetan dari kehilangan Mok Joh yang dikatakan mati kerana melanggar sumpah Saka Mak Yong yang dipeliharanya. Namun yang menjadi misteri ialah, sehingga kini jenazah Mok Joh masih belum ditemui.

Penduduk kampung mula diganggu makhluk yang dikatakan sebagai hantu Mok Joh. Kedai Kopi Pok Heng yang selama ini kekurangan pelanggan, kini menjadi ruang para penduduk membincangkan isu panas tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pula menyatakan, sebagai sebuah platform yang mempersembahkan filem-filem tempatan kepada penonton Malaysia, pihaknya bukan sahaja bertanggungjawab mengetengahkan karya yang mempunyai nilai hiburan dan jalan cerita yang baik, malah turut mengutamakan nilai budaya dan estetika.

“Kelainan Hantu Mok Joh berbanding filem seram komedi yang lain adalah ia diwarnai dengan unsur seni tradisional seperti Mak Yong, dikir barat, patung wayang kulit, dan ini sekali gus membuktikan seni warisan boleh dimartabatkan menerusi filem moden dengan gaya kreatif.

“Kami harap kehadiran naskhah ini mampu memperkasakan lagi filem-filem yang menonjolkan budaya lokal, di samping dapat menghiburkan penonton,” ujarnya.

Saksikan filem seram komedi, Hantu Mok Joh yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 17 Februari 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. – KopiPlanet.com

The post Filem Hantu Mok Jah Gabungkan Elemen Seni Moden & Traditional, Tampilkan Amerul Affendi Sebagai Penari Mak Yong appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.