Ads Top

Selepas Sedekad Tidak Beraksi, Disagree Bakal Tampil Dengan Showcase ‘Black & White In Colour’

Selepas lebih sedekad tidak beraksi di pentas, kumpulan rock alternatif Malaysia, Disagree bakal kembali menemui peminat menerusi live showcase “Black & White in Colour” yang akan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober ini di REXKL.

Showcase yang dinanti-nantikan ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi album “Black & White in Colour” yang memuatkan 21 buah lagu. Album tersebut akan ditawarkan secara eksklusif di lokasi showcase buat julung kalinya, sekali gus memberi peluang kepada para peminat untuk memilikinya lebih awal sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert kemunculan semula, showcase ini menjadi ruang buat Disagree kembali mendekati peminat yang terus menyokong perjalanan muzik mereka selama ini, di samping memperkenalkan muzik, kisah dan emosi di sebalik lembaran baharu kumpulan tersebut kepada generasi pendengar yang seterusnya.

LEBIH DARIPADA SEBUAH KONSERT

Berlangsung di REXKL Hall, “Black & White in Colour” Live Showcase dirancang sebagai sebuah pengalaman imersif dan bukannya sekadar persembahan konsert konvensional.

Persembahan ini akan menampilkan teknologi pemetaan projeksi imersif serta pengalaman bunyi sekeliling (surround sound), sekali gus mewujudkan suasana visual dan audio yang melengkapi perjalanan emosi yang dibawa menerusi album tersebut.

Sebagai sebuah bekas pawagam bersejarah yang telah diubah suai menjadi hab kreatif dan budaya di tengah-tengah Kuala Lumpur, REXKL menjadi lokasi yang cukup sesuai untuk kemunculan semula Disagree.

Ruang ini bakal menghimpunkan muzik, seni visual dan memori kolektif para penonton dalam satu pengalaman yang istimewa.

Buat peminat yang telah mengikuti perjalanan Disagree sejak sekian lama, malam tersebut menjadi peluang untuk mengimbau kembali lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada fasa penting kehidupan mereka.

Bagi pendengar baharu pula, ia menjadi ruang untuk mengenali sebuah kumpulan yang kisah dan muziknya terus berkembang, biarpun pernah menyepi daripada perhatian umum selama bertahun-tahun. Dan buat Disagree, inilah peluang untuk akhirnya melengkapkan sebuah kisah yang pernah tergantung.

KEMUNCULAN YANG DINANTI-NANTIKAN

Dikenali menerusi bunyi rock alternatif dan indie progresif yang tersendiri, Disagree mula mencipta nama serta mempunyai kelompok peminat yang kukuh sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an menerusi lagu-lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Scarecrow Adams”, “Osaka” dan “Haley”.

Kumpulan ini kemudiannya menjadi antara nama yang cukup dikenali dalam persada muzik alternatif Malaysia, termasuk membuat persembahan di festival ikonik Rock The World, selain diberi peluang menjadi artis pembuka kepada kumpulan antarabangsa seperti Hoobstank dan The All-American Rejects. Disagree turut menerima beberapa pengiktirafan industri, termasuk tiga kemenangan di anugerah Industri Muzik (AIM).

Selepas beberapa tahun menyepi daripada persada muzik apabila komitmen terhadap kehidupan, keluarga dan kerjaya membawa setiap anggota kumpulan ke haluan masing- masing, kepulangan Disagree kali ini bukan sekadar didorong oleh nostalgia.

Langkah kemunculan semula mereka bermula dengan pelancaran “Let’s Do It All Again” pada Mei 2026, sebuah lagu yang mengimbas kembali perjalanan kumpulan selepas menghilang daripada radar, hubungan mereka dengan para peminat serta keinginan untuk kembali mendekati mereka setelah meninggalkan sebuah lembaran yang belum selesai.

BLACK & WHITE IN COLOUR: LEMBARAN BAHARU

Album “Black & White in Colour” yang mengandungi 21 buah lagu bukan sahaja menjadi refleksi terhadap perjalanan lalu Disagree, malah mencerminkan kedudukan dan identiti kumpulan itu pada hari ini.

Album ini mengangkat pelbagai tema seperti kekecewaan, trauma, pergolakan emosi, hubungan yang terjalin semula, kepercayaan serta turun naik kehidupan.

Setiap lagu menggambarkan fasa berbeza dalam evolusi Disagree, daripada siapa mereka dahulu, apa yang telah mereka kehilangan sehinggalah kepada diri mereka pada hari ini.

Karya terbaharu Disagree turut memperlihatkan gabungan identiti rock alternatif yang sekian lama menjadi trademark mereka dengan pendekatan penceritaan dan penghayatan emosi yang lebih matang.

Album “Black & White in Colour” diterbitkan dan menjalani proses mixing oleh penerbit muzik yang telah memenangi pelbagai anugerah, Greg Henderson, manakala proses mastering dikendalikan oleh jurutera audio pemenang Grammy, Leon Zervos, di Studios 301, Australia.

Namun, album ini pada akhirnya membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kepulangan Disagree ke dunia muzik. Ia adalah tentang kembali menghubungkan diri dengan muzik dan peminat serta perjalanan yang pernah mereka tinggalkan. – KopiPlanet.com

The post Selepas Sedekad Tidak Beraksi, Disagree Bakal Tampil Dengan Showcase ‘Black & White In Colour’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.