Ads Top

Emma Suhaimi Buat ‘Comeback’ Tampil Dengan Single Baharu ‘Tersakiti’

Selepas sekian lama menempa nama dalam industri muzik tempatan, bintang AF8, Emma Suhaimi kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi single berjudul “Tersakiti”, sebuah lagu balada yang mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer ternama dari Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu hit “Menjaga Jodoh Orang Lain” nyanyian Ara Johari yang menjadi antara lagu paling tinggi di strim di Malaysia pada tahun lalu, hadir dengan melodi yang cukup menyentuh perasaan serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan ramai individu yang pernah melalui episod percintaan yang menyakitkan.

Menurut Emma, “Tersakiti” bukan sekadar sebuah lagu cinta yang berkisar tentang perpisahan, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan berani meninggalkan hubungan yang toksik.

“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih “Tersakiti”. Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.

Emma berkata, jalan cerita lagu tersebut cukup dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini kerana ramai yang memilih untuk memendam rasa dan terus bertahan walaupun sedar hubungan yang dilalui tidak lagi mendatangkan kebahagiaan.

Bercerita mengenai pemilihan Ilham Baso sebagai komposer, Emma mengakui reputasi pencipta lagu itu bukanlah faktor utama, sebaliknya cara beliau bekerja menjadi sebab utama lahirnya keserasian sepanjang proses pembikinan lagu.

“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman. Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya.

Mengulas cabaran terbesar ketika merakamkan “Tersakiti”, Emma berkata aspek paling sukar bukanlah dari sudut teknikal vokal, sebaliknya memastikan emosi dalam lagu benar-benar sampai kepada pendengar.

“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah “Tersakiti”. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya.

Menurut Emma lagi, pengalaman hidup yang dilaluinya sendiri sedikit sebanyak membantu proses penghayatan lagu tersebut.

“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan. Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya.

Antara bait lirik yang paling dekat di hati Emma ialah ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’, yang menurutnya membawa makna cukup besar tentang hakikat kehidupan.

“Lirik itu sangat dekat dengan saya. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita. Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.

Emma turut berharap “Tersakiti” mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan, khususnya mereka yang selama ini memilih untuk menyimpan luka sendirian.

“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap “Tersakiti” boleh menjadi suara kepada mereka. Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Dalam masa sama, Emma menyifatkan keseluruhan proses pembikinan “Tersakiti” berjalan dengan cukup lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham Baso.

“Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional. Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya.

Dengan susunan muzik yang menyentuh jiwa, melodi yang mudah diingati serta lirik yang sarat dengan makna, “Tersakiti” diharap mampu mengukuhkan lagi kedudukan Emma Suhaimi dalam arena muzik tempatan, sekali gus menjadi pilihan baharu buat peminat lagu-lagu balada yang mengangkat kisah kehidupan sebenar.

Single “Tersakiti” terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik utama pada hari Jumaat, 14 Ogos ‘26 manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama jam 3 petang di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=hehE3-1peh4 . – KopiPlanet.com

The post Emma Suhaimi Buat ‘Comeback’ Tampil Dengan Single Baharu ‘Tersakiti’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.