Ads Top

Hafiz Hamidun, Syatilla Melvin Turun Padang Beri Bantuan Kepada Golongan Memerlukan

Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan, Yayasan Maghfirah mengambil inisiatif menyerahkan bantuan berupa agihan pek bekalan makanan kepada golongan memerlukan dan juga berpendapatan rendah di beberapa lokasi di seluruh ibu kota.

Pengurus Besar Yayasan Maghfirah, Aulia Rahman Zulkarnain berkata, ia merupakan antara usaha yayasan untuk menyantuni masyarakat PPR khususnya golongan asanaf yang tergolong dalam kelompok miskin bandar. 

“Miskin bandar merupakan fokus utama Yayasan Maghfirah kerana kita dapati kebanyakan masalah sosial lahir daripada komuniti yang mendiami kos perumahan rendah.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita sebagai masyarakat yang prihatin membantu mereka memperbaiki taraf kehidupan dan pendidikan golongan miskin bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Mega Agihan Ramadan yang berlangsung di Dataran PPR Pantai Ria (PPR Sri Cempaka, Kerinchi, Kg Limau Sri Pantai), Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Turut hadir, pelakon Syatilla Melvin serta penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun yang turut sama-sama turun padang menyerahkan sumbangan.

Menerusi program Mega Agihan Ramadan kali ini, sebanyak 300 kotak pek Ramadan dan Syawal bernilai RM18,000 akan diserahkan untuk setiap PPR, dengan 5,000 kotak bakal diedarkan sepanjang bulan.

Duit raya sebanyak RM50 juga turut disertakan dalam setiap pek Syawal. Ia termasuk 6,000 pek iftar yang juga telah diagihkan bermula 1 Ramadan lalu dengan sasaran 35,000 penerima manfaat.

Sementara itu, Hafiz yang bergelar duta bagi program Raikan Ramadan bagi tahun kedua bersama Yayasan Maghfirah menyatakan keazamannya untuk terus busaha menghulurkan tangan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Tidak hanya golongan asnaf dan miskin bandar, kita di Yayasan Maghfirah juga membantu pelbagai lapisan masyarakat seperti anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan juga pesakit HIV,” katanya.

“Kita bukan nak salahkan kehidupan atau pandemik Covid-19, tetapi apabila difikirkan kembali, masih ada keluarga yang sukar untuk meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Bagi Syatilla pula, dia sememangnya sangat berbesar hati apabila berpeluang untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan.

“Sudah tentu ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan, malah bersedia untuk lakukan perkara yang sama jika diundang lagi untuk aktiviti sebegini jika ada kelapangan,” ujarnya.

Bagi yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan, boleh salurkan derma menerusi akaun Maybank Yayasan Maghrifah 562263552802. – KopiPlanet.com

The post Hafiz Hamidun, Syatilla Melvin Turun Padang Beri Bantuan Kepada Golongan Memerlukan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.