Ads Top

Membaca Surah Al-Asr & Tasbih Kaffarah Sebagai Penutup Majlis

Jika anda seorang yang gemar ke majlis ilmu, selalunya anda akan mendengar di penghujung majlis tersebut, ia ditutup dengan tasbih kaffarah dan surah Al-Asr.

Bukan di majlis ilmu sahaja, bahkan di mana-mana majlis dan kelas yang diikuti, pasti kebanyakannya akan mengucapkan dengan ucapan sedemikian.

Jika sesebuah majlis itu dibuka dengan bacaan surah Al-Fatihah, pasti ia juga akan ditutup dengan bacaan tertentu. Dan menjadi kebiasaan untuk penutupan sesebuah majlis itu dengan bacaan tasbih dan surah Al-Asr.

Dari mana datangnya amalan ini? Jangan risau kerana ia bukanlah amalan bid’ah atau ikutan yang tidak berasas. Ia merupakan perbuatan yang telah diamalkan oleh para sahabat dan Baginda SAW sendiri.

Tasbih kaffarah merupakan amalan yang dilakukan untuk menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah SWT. Ia berasal daripada perkataan kafru yang bermaksud menutup.

Silapnya ialah kadang-kadang kita sering mendengar orang menyebut tasbih kifarah. Sedangkan kifarah membawa maksud balasan Allah ke atas hambaNya ketika hidup akibat dosa-dosa yang telah dilakukan. Sebetulnya adalah tasbih kaffarah.

Abi Jabir bin Mat’am berkata, Nabi Muhamamd SAW bersabda:

maksud: “Sesiapa yang membaca سبحان الله و بحمده سبحانك اللهم و بحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك و أتوب إليك selepas majlis, maka dihapuskan dosa ke atasnya.” (Hadis Sahih Al-Jami’, no. 6430)

Surah Al-Asr pula merupakan surah yang menerangkan mengenai masa dan kerugian manusia jika tidak menggunakan masa dengan baik dan ke arah yang benar.

Apabila manusia berada dalam majlis ilmu, mereka berada dalam sebuah majlis yang diberkati Allah dan mendoakan semoga majlis itu bukan sebuah tempat yang boleh merugikan masa.

Bahkan, terdapat juga dalil yang menyebut bahawa pertemuan dua orang sahabat itu perlu diakhiri dengan surah Al-Asr.

Dari Abu Madinah Ad-Darimi berkata:

كَانَ الرَّجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا الْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا حَتَّى يَقْرَأَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ : ” وَالْعَصْرِ إِنَّ الإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ” ، ثُمَّ يُسَلِّمَ أَحَدُهُمَا عَلَى الآخَرِ

Maksud: “Jika dua orang sahabat Nabi SAW itu bertemu, mereka tidaklah berpisah sampai salah seorang di antaranya membaca: “Wal ‘asr, innal insaanala fi khusr …” Lalu, salah satu dari keduanya mengucapkan salam untuk yang lainnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 417)

Tuntasnya, membaca tasbih kaffarah dan surah Al-Asr itu merupakan amalan yang dimuliakan Baginda dan bukannya amalan bid’ah.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.