Ads Top

Kisah Cinta Karma & Sham Diuji Dalam Drama Bersiri From Saga With Love 2

Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW bakal melancarkan musim kedua siri popular paling dinantikan Viu Original From Saga With Love pada 17 Oktober lalu.

Berlatar belakangkan keindahan Prefektur Saga, Jepun, drama bersiri komedi romantik 10 episod ini menampilkan semula pelakon dari musim sebelumnya, termasuk Siti Khadijah Halim sebagai Karma, Ikmal Amry sebagai Sham, Fimie Don sebagai Bob dan Sophia Albarakbah sebagai Bianca.

Musim ini juga menampilkan Hun Haqeem, yang baru sahaja merangkul anugerah Pelakon Lelaki TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2024, membawakan watak baharu sebagai Hadri.

From Saga With Love musim pertama juga telah memenangi Anugerah Kebangsaan untuk Program Komedi Terbaik dan – Siti Khadijah Halim merangkul Anugerah Kebangsaan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Komedi di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2024.

Berdasarkan kejayaan ini, From Saga With Love Musim 2 kembali bekerjasama dengan Umi Salwana Omar sebagai pengarah dan Rafidah Abdullah sebagai ketua penulis.

Musim baharu ini akan meneroka bagaimana kebahagiaan Karma dan Sham diuji setelah mereka bersama-sama memulakan perniagaan penjualan tembikar. Mereka menghadapi pelbagai keresahan dan masalah dalam perniagaan tersebut sehingga menjejaskan hubungan cinta mereka.

Apabila Sham menerima perkhabaran mengenai masalah kesihatan mentornya, Akiro, dia bergegas ke Saga, Jepun lalu meninggalkan Karma untuk menguruskan perniagaan kedai tembikar mereka seorang diri. Namun, Karma akhirnya memilih untuk terbang ke Saga selepas insiden yang tak diingini berlaku dengan ditemani oleh rakan baiknya Bob, yang mahu mencari ilham bagi filem pertamanya.

Di Saga, Karma berjumpa semula dengan Bianca yang sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Saga. Dan, mereka berempat kembali bersama tetapi kehadiran rakan sekelas Bianca bernama Hadri mungkin akan mengeruhkan keadaan.

Kingsley Warner, Pengurus Negara, Malaysia, berkata, “From Saga With Love telah dipilih sebagai drama popular 2023 oleh pengulas filem Malaysia, Wayang People.

“Peminat drama bersiri ini begitu teruja sehingga ada dikalangan mereka telah membuat kelab peminat atas talian, membincangkan tentang siapakah pasangan kegemaran mereka dengan harapan musim kedua akan diterbitkan.

“Menjawab atas permintaan ramai, musim kedua ini menampilkan penggambaran yang lebih panjang di Saga, menambahkan sentuhan visual antarabangsa yang memukau dan mewujudkan pengalaman tontonan yang lebih mendalam. Ia dijangka akan meneruskan kejayaan musim pertama dan memenuhi harapan peminat kami.”

Siri ini ditaja oleh Syahirah Vitalis, dengan All Nippon Airways (ANA) sebagai rakan penerbangan dan mendapat sokongan dari Insentif Filem Di Malaysia (FIMI) dan Suruhanjaya Filem Saga.

Viu-ers boleh menonton siri ini bermula 17 Oktober, dengan episod baharu setiap hari Khamis di aplikasi Viu yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Huawei App Gallery, dan TV Pintar terpilih atau ia juga boleh ditonton di laman sesawang www.viu.com. – KopiPlanet.com

The post Kisah Cinta Karma & Sham Diuji Dalam Drama Bersiri From Saga With Love 2 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.