Ads Top

Haqiem Rusli Menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM Menerusi Lagu ‘Mimpi’

Penyanyi lelaki popular, Haqiem Rusli, dengan lagu hitnya “Mimpi” yang dilancarkan pada tahun 2020 dan memikat pendengar di seluruh negara kini dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan komersial mencapai pendapatan lebih RM100,000 dari penstriman lagu tersebut di platform digital.

Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara. Jumlah pendapatan yang dicapai oleh single “Mimpi” telah diaudit oleh RIM berdasarkan angka sah dari jumlah muat turun serta strim audio dan video lagu tersebut di platform digital berkenaan.

Penganugerahan sijil ini menunjukkan tarikan berterusan rakaman muzik tempatan di kalangan peminat muzik di Malaysia dan rantau ini.

Lagu “Mimpi” merupakan hasil ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal, Dato’ A. Aida, serta diterbitkan oleh FMC Music. Single ini dilancarkan dalam format digital pada 15 Disember 2020, manakala video muzik rasminya dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021.

Selepas pelancarannya, “Mimpi” dengan pantas telah menduduki tangga teratas carta trending YouTube, meraih hampir satu juta tontonan dalam hanya beberapa hari pertama dari tarikh pelancarannya.

“RIM sentiasa gembira untuk mengiktiraf artis dan label muzik Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan komersial yang membanggakan. Pensijilan yang diberikan kepada ‘Mimpi’ membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja dari kalangan rakyat Malaysia, bahkan peminat muzik di luar negara.

“RIM mengucapkan tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka dalam mencapai kejayaan yang membanggakan ini,” kata Encik Rosmin Hashim, Pengerusi RIM.

Sementara itu, Haqiem menyatakan dirinya berasa amat terhormat apabila menerima pengiktirafan yang cukup berharga daripada RIM.

“Mimpi adalah lagu yang istimewa buat saya, dan saya amat bersyukur atas sokongan daripada FMC Music, pasukan saya, dan semua yang telah mendengar lagu ini,” kata Haqiem Rusli.

Pengurus PR FMC Music berkata, “FMC Music amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini daripada RIM. “Mimpi” adalah karya yang lahir daripada jiwa dan dedikasi Haqiem bersama pasukan, dan anugerah ini menjadi lambang bahawa setiap nota dan liriknya telah menyentuh hati pendengar. – KopiPlanet.com

The post Haqiem Rusli Menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM Menerusi Lagu ‘Mimpi’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.