Bahagiakan Orang, Allah Akan Mudahkan Urusan
Orang Islam itu bersaudara.
Jika agama Islam mempunyai rukun Iman dan Islam yang menjadi tonggak dan asasnya, maka pada hemat saya seorang Muslim juga mempunyai rukun yang perlu dilaksana. Rukun bersaudara.
“Bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim adalah saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain.
Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari, no.2262 – Status Hadis Sahih)
Rukun yang pertama, seorang Muslim itu tidak boleh menganiayai orang lain dan tidak boleh juga membiarkan saudaranya dianiaya.
Rukun kedua, berusaha menyampaikan hajat saudaranya.
Rukun ketiga, berusaha melapangkan kesusahan seorang Muslim.
Rukun keempat, menutup aib saudaranya.
Faedah daripada setiap perkara yang dilakukan di atas sangat besar. Pertolongan yang akan Allah berikan bukan hanya dalam urusan di dunia malah di akhirat.
Allah akan membalas semula kebaikan yang dilakukan dengan adil dan saksama. Orang yang berusaha memenuhi hajat saudaranya maka Allah akan memenuhi juga hajatnya. Orang yang melapangkan kesusahan seseorang, maka Allah juga akan melapangkan kesusahannya di akhirat, dan apabila dia menyembunyikan aib saudaranya, maka Allah juga akan menutup aibnya di akhirat.
Apa lagi pertolongan terbesar dan sangat bermakna melainkan pertolongan di hari pembalasan, bukan?
Pak Nasrullah, seorang pakar motivasi dari Indonesia turut berpesan bahawa rezeki seseorang itu terletak pada kebahagiaan dan kegembiraan orang lain.
Pada awalnya saya tidak begitu faham. Bagaimana rezeki kita boleh bergantung kepada orang lain? Bukankah rezeki masing-masing sudah ditetapkan oleh Allah sejak dari dalam kandungan lagi?
Namun apabila menjumpai hadis berkaitan pertolongan dan hubungan baik sesama manusia ini, saya mula faham bahawa rezeki itu boleh sampai kepada kita dengan banyak jalan. Adakala kerana usaha yang kita lakukan dengan bersungguh-sungguh.
Adakala kerana kita memenuhi hajat orang lain. Adakala kerana sedekah dan ada pula kerana tindakan semudah memberi makan kepada orang.
Perkara-perkara ini menjadi asbab atau boleh diibaratkan sebagai ‘minyak pelincir’ untuk rezeki lebih mudah sampai kepada kita.
Rasulullah SAW malah pernah memberitahu bahawa Allah akan mencintai orang yang memberi manfaat kepada orang lain – yang selalu membuat orang lain senang dan bahagia.
Dan apa yang berlaku kepada orang yang telah dicintai Allah? Hidupnya menjadi lapang dan penuh dengan keberkatan, malah dia juga dicintai oleh penduduk langit dan bumi.
Kita lihat ramai orang bukan Islam membuat kajian dan mencipta pelbagai alatan yang dapat memperbaiki alam sekitar dan memudahkan urusan orang. Oleh itu, tidak hairanlah Allah sangat pemurah kepada hamba-hambaNya yang Muslim atau bukan Muslim, kerana syarat itu telah dipenuhi iaitu memudahkan urusan dan kehidupan orang lain.
Dalam sebuah hadis, daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW juga ada berkata bahawa baginda lebih menyukai tindakan membantu orang yang sedang kesusahan berbanding duduk beriktikaf di masjid selama sebulan.
Bukan bermaksud bahawa ibadah itu tidak penting, namun Rasulullah SAW mementingkan prioriti. Iktikaf adalah perkara sunat sedangkan membantu orang yang sedang dalam kesulitan adalah kewajipan sosial yang lebih penting.
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini -masjid Nabawi- selama sebulan penuh.” (HR. Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir, no. 13280, 12/453. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan sebagaimana disebutkan dalam Shahih Al Jaami’ no. 176)
Jadi, bahagiakan orang lain, maka Allah akan mencintai kita. Mudahkan orang, maka Allah akan mudahkan urusan kita.
No comments: