Ads Top

Bagaimana Berbakti Kepada Orang Tua Walaupun Mereka Telah Meninggal

Apabila meninggalnya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara. Salah satu amalan dan pahala yang masih mengalir ialah doa anak yang soleh kepadanya.

Anak-anak yang soleh yang sentiasa menyedekahkan doa kepada ibu bapa mereka ialah anak-anak yang akan sentiasa membantu ibu bapa mereka di alam kubur.

Tidak dapat menziarahi kubur mereka itu bukan salah satu bukti kederhakaan anak-anak kepada orang tuanya. Jika kuburnya jauh dari tempat tinggal atau sukar untuk diziarahi, maka tidak mengapa jika tidak dapat kerap menziarahinya.

Yang paling penting ialah mendoakan kesejahteraan dan keamanan buat mereka walau di mana jua anda berada.

دلت السنة على مشروعية بر الوالدين بعد وفاتهما ؛ بالدعاء لهما وتنفيذ وصيتهما وصلة الرحم التي لا توصل إلا بهما وإكرام صديقهما

Maksud: “Sunnah menunjukkan atas disyariatkannya berbuat baik kepada kedua orang tua setelah mereka meninggal dengan mendoakan kebaikan bagi mereka berdua, menunaikan wasiat mereka berdua, menyambung hubungan silaturahim (kekerabatan) yang tidak tersambung kecuali mereka berdua dan memuliakan teman rapat mereka.” (Fatawa Al-Lajnah Ad-Daimah. 182:25)

Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia, iaitu:

#1 – Mendoakan Kedua Orang Tua

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Mafhum: “Ya Allah! Ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka megasihiku sejak kecil.”

#2 – Meminta Keampunan Kepada Mereka Berdua

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Mafhum: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Surah Ibrahim, 14:41)

#3 – Menunaikan Perjanjian Mereka Berdua Setelah Mereka Meninggal

Maksud: “Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha puasa bagi pihaknya?” Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1953)

#4 – Menyambung Hubungan Silaturahim

Maksud: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Hadis Riwayat BUkhari, no. 5986)

#6 – Berbuat Amal Kebaikan

Ibnu Al-Mubarak meriwayatkan daripada Uthman ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya:

“Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash.” Kemudian, dia berangkat dan meminta izin supaya dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian dia bertanya bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya sama ada baik atau tidak. Lalu dia menjawab: “Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku.”

Kemudian, dia berpesan: “Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak akan berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash.”

Pada ketika itu, Amru bin Ash telah meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya: “Apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar akan orang yang masih hidup?” Dia menjawab: “Ya, tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang kepada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika dia melakukan keburukan, dia akan berdukacita.”(Hadis Riwayat Tirmizi)

Tuntasnya, menyayangi ibu bapa bukan sahaja perlu dilakukan semasa hayatnya namun juga sehingga mereka telah meninggal dunia. Jika dibandingkan dengan pengorbanan mereka semasa hayatnya, pasti tidak dapat dibalas walau dengan jutaan wang ringgit. Oleh itu, teruskanlah mendoakan mereka walau mereka telah tiada.




No comments:

Powered by Blogger.