Rossa Cipta Sejarah, Tiket Pra-Jualan Konsert Here I Am Habis Dijual Dalam Tempoh Tiga Jam
Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Sri Rossa mencipta sejarah sekali lagi apabila tiket pra-jualan Konsert Here I Am yang dibuka pada 11 November 2024, pada 3.00 petang secara eksklusif di platform Ticket2U telah habis dijual dalam masa tiga jam sahaja.
Lebih mengujakan, tiket kategori Festival habis dijual dalam masa 4 minit membuktikan pengaruh dan populariti penyanyi tersebut yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Dikenali dengan vokal memukau dan balada yang penuh emosi, Dato’ Sri Rossa akan menyampaikan rangkaian lagu hit kegemaran ramai dalam satu malam yang pasti akan menjadi kenangan indah buat para peminatnya.
Konsert ini dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment sebagai tanda penghargaan buat peminat Rossa yang setia menyokong perjalanan karier beliau.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk hits popular seperti “Nada Nada Cinta,” “Pudar,” dan “Hey Ladies,” selain beberapa persembahan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan pada malam istimewa tersebut.
Rossa turut menyatakan kegembiraannya untuk kembali beraksi di pentas Malaysia dan menghiburkan para peminatnya.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.
“Sokongan peminat di Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali,, turut menyatakan rasa terujanya terhadap kolaborasi ini.
“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu inisiatif untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik seterusnya membantu Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati, dan kami yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” katanya.
Tambahnya lagi, Konsert Here I Am ini adalah susulan kepada tayangan filem dokumentari All Access to Rossa: 25 Shining Years yang ditayangkan pada bulan lalu.
“Atas permintaan ramai, khususnya Pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong Rossa selama ini,” kongsinya.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Konsert Here I Am Rossa, boleh ikuti saluran media sosial rasmi Rossa dan platform jualan tiket.
The post Rossa Cipta Sejarah, Tiket Pra-Jualan Konsert Here I Am Habis Dijual Dalam Tempoh Tiga Jam appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: