Ahmad Idham Sangkal Dakwaan Wujudnya Budaya Buli Antara Pelakon Senior & Junior
Pengarah popular, Dr. Ahmad Idham menyangkal dakwaan kenyataan yang dibuat seorang pelakon baharu mengenai wujudnya budaya buli antara pelakon senior dan junior.
Ahmad Idham berkata, kenyaatan yang dibuat oleh pelakon baharu seakan-akan seperti ‘merosakkan’, seolah-olah industri ini memang wujud budaya sebegitu.
“Pada saya, pelakon berkenaan tak paham industri lakonan tu macam mana sehingga dia buat kenyataan sebegitu. Jadi saya rasa perlu beri teguran, sebelum nak keluar apa-apa kenyataan pastikan perlu ada bukti yang sahih.
“Jangan nak meletakkan keburukan kepada pelakon-pelakon senior kalau tak faham dunia lakonan tu apa. Memang ada situasi di mana kita nampak pelakon senior itu bersikap tegas,” jelasnya.
Ujar beliau, antara faktor-faktor yang membuatkan segelintir pelakon bersifat sedemikian kerana ramai pelakon baharu yang masuk dalam industri lakonan tanpa asas dan ilmu yang cukup.
Jelasnya, sebagai contoh ada segelintir yang bermula sebagai influencer dan terus menjadi pelakon atau menang dalam mana-mana pertandingan kemudian lantas bergelar pelakon.
“Bagi saya tidak sepatutnya dan agak memalukan sebagai pelakon baharu untuk bercerita sesuatu yang dia sendiri tidak paham dalam dunia lakonan.
“Menerusi pengalaman sendiri, saya selalu berhadapan dengan pelakon baharu yang tak paham apa itu lakonan, akhirnya lakonan tu buatkan saya tertanya-tanya sama ada pelakon itu tahu berlakon atau tidak.
“Jadi, jangan sedap mulut nak bercakap kalau tak tahu apa-apa sehingga mampu memberi imej buruk kepada pelakon senior yang selama ini menjadi pejuang industri yang kekal bertahan sehingga sekarang,” ujarnya.
Pada masa sama, Ahmad Idham menegaskan agar pelakon baharu ini tidak sibuk berkata tentang apa yang pelakon senior buat pada mereka.
“Sepatutnya mereka ini perlu fikirkan cara untuk memperkasakan lagi mutu lakonan untuk buatkan mereka nampak hebat dalam industri ini dan kekal relevan dalam jangka masa yang lama,” ujarnya.
Baru-baru ini, seorang pelakon baharu iaitu Alif Muhaimin membuat pendedahan mengenai budaya buli antara pelakon senior dan junior. – KopiPlanet.com
The post Ahmad Idham Sangkal Dakwaan Wujudnya Budaya Buli Antara Pelakon Senior & Junior appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: