Ads Top

5 Prinsip Kehidupan Yang Dipelajari Dari Filem ‘Super 30’

Filem Super 30 yang telah mula ditayangkan di pawagam pada Julai 2019 telah mendapat sambutan hangat oleh para penonton, malah sehingga kini masih ramai yang memberikan bintang dan ulasan menarik ke atas filem ini.

Ia merupakan sebuah filem India yang diarah oleh salah seorang pengarah terkenal, iaitu Vikas Bahl dan dibintangi oleh Hritik Roshan dan beberapa lagi pelakon mantap yang lain. Umum mengetahui lakonan Hritik Roshan tidak pernah mengecewakan para peminatnya, namun apa yang menarik tentang filem ini bukan sekadar lakonan berbakat beliau, malah lebih banyak lagi.

Jalan cerita ini memaparkan kisah sebenar seorang pakar matematik, Anand Kumar yang berjaya memaparkan perjuangan golongan kasta rendah untuk merasai pendidikan yang sama bagi mengangkat diri mereka ke arah yang lebih baik.

Sedikit imbasan mengenai Anand Kumar ialah beliau merupakan seorang pelajar yang sangat bijak dalam bidang matematik dan lahir dalam golongan kasta rendah. Kesusahan hidupnya telah menyebabkan beliau tidak dapat merasa pendidikan yang sepatutnya dirasai.

Walau bagaimanapun, kegigihan beliau dalam menimba ilmu tidak pernah luntur bahkan dari hari ke hari semakin bertambah. Dek kesungguhannya itu, beliau telah berjaya ditawarkan ke sebuah universiti terkemuka, iaitu University of Cambridge namun ia tidak menjadi kenyataan kerana kekangan hidupnya dan juga kewangan.

Entri kali ini bukan untuk mengulas lebih lanjut mengenai kehidupan pakar matematik ini, namun untuk berkongsi dengan para pembaca beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh didapati.

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa kisah sebenar Super 30 tidak diceritakan secara terperinci dan benar, namun dari sudut positifnya terdapat pelbagai prinsip kehidupan yang boleh dipelajari.

#1 – Sokongan Keluarga Itu Penting

Filem ini memaparkan si ayah yang sentiasa menyokong anaknya, Anand Kumar dalam pendidikan. Beliau sanggup meminjam wang, membawa anaknya berjumpa orang kenamaan untuk membuat pinjaman pendidikan serta meyakinan rakan-rakannya mengenai kejayaan yang bakal diraih anaknya.

Apabila tidak semua usahanya itu berjaya, tidak sedikit pun wajahnya menunjukkan kesugulan, bahkan dia terus memberi kata-kata semangat kepada Anand Kumar untuk tidak berputus asa mencapai cita-citanya.

Adiknya, Pranav Kumar sentiasa menjadi penasihat terbaik terhadap setiap keputusan yang ingin dilakukan olehnya. Bahkan, sehingga ke akhirnya Pranav tidak pernah meninggalkan abangnya itu.

#2 – Memartabatkan Bahasa Ibunda

Sebahagian daripada mungkin menilai kebijaksanaan seseorang berdasarkan taraf dan status Bahasa Inggeris. Jika tahu dan fasih berbahasa Inggeris, maka mereka akan diangkat sebagai golongan yang bijak pandai.

Bahkan, dalam filem ini menunjukkan sebuah babak anak-anak Super 30 ini merasa kurang yakin untuk bersaing dengan golongan kasta tinggi disebabkan oleh salah satu faktor iaitu pengaruh bahasa asing itu.

Disebabkan itu, Anand Kumar cuba untuk membuka mata anak-anak didiknya itu supaya jangan pernah merasa rendah diri dengan bahasa ibunda, sebaliknya bahasa itulah yang perlu diangkat.

Ilmu itu boleh sentiasa dipelajari sama ada untuk memperbaiki bahasa Inggeris atau ilmu-ilmu lain, namun kesedaran dan jati diri terhadap bahasa ibunda ialah sesuatu yang perlu ditanam dalam diri kerana ia membuktikan nilai patriotisma kita sendiri.

#3 – Sanggup Mengambil Risiko

Anand Kumar tidak pernah berehat daripada ujian besar dalam kehidupannya. Bermula dengan terpaksa berlajar secara sembunyi di perpustakaan, terpaksa menolak tawaran daripada University of Cambridge dan akhirnya menutup mata daripada kemewahan yang ada semata-mata untuk membantu golongan kurang berkemampuan secara percuma.

Keyakinan beliau telah menyebabkannya sanggup mengambil risiko atas setiap keputusan hidup yang dilakukan. Perjalanan yang ditempuh panjang dan berliku-liku namun beliau tidak pernah menoleh ke belakang.

#4 – Menukarkan Teori Kepada Praktikal

Kesusahan golongan ini untuk mendapatkan ilmu ditonjolkan melalui filem ini. Namun, kesusahan tidak pernah mengaburi otak dan akal mereka daripada berfikir dan melihat ilmu melalui sudut pandang yang berbeza.

Melalui pengajaran yang diberikan oleh Anand Kumar, pelajar-pelajar ini telah mempraktikkannya untuk memudahkan proses pembelajaran mereka.

Mempelajari ilmu bukan sekadar di atas kertas, namun perlu dipersembahkan dalam bentuk nyata agar ia tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.

#5 – Ujian Dan Kesusahan Bukan Penghalang

Peribahasa Melayu ada menyebut – “Nak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

Ia bukanlah sekadar kata-kata yang kita hafal di bangku sekolah rendah untuk lulus peperiksaan, namun ia membawa maksud lebih daripada itu.

Setiap ujian yang hadir dalam kehidupan bukan untuk memberi seratus-peratus kesusahan dalam hidup kita, namun untuk memberi pengajaran dan kekuatan hidup.

Walaupun Anand Kumar tidak dibenarkan untuk memasuki perpustakaan (kerana beliau bukan siswa di situ), namun beliau tidak menutup matanya untuk berputus asa bahkan sentiasa mencari cara untuk membolehkannya menuntut ilmu.

Banyak lagi kisah kesusahan beliau dan anak didiknya yang dipaparkan menerusi filem ini, namun usaha beliau tetap ditonjolkan bagi mengatasi kesusahan tersebut untuk mencapai kejayaan dan bukannya terhenti di tengah jalan.

Hidup ini bukan sekadar untuk anda sahaja, namun untuk berbakti dan memberi inspirasi kepada orang lain. Jika anda tidak mampu menjadi salah satu darinya, jangan rosakkan impian orang lain kerana anda sendiri yang akan rugi.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.