Apa Itu Kaedah Stunning Dalam Prosedur Penyembelihan
Stunning adalah satu kaedah untuk memengsankan haiwan sebelum disembelih. Ia memudahkan proses penyembelihan terutama dalam skala yang besar. Ada beberapa kaedah stunning antaranya, stunning mekanikal, stunning elektrik, stunning angin dan pelalian water stunner.
Bolehkah Menggunakan Kaedah Stunning Dalam Proses Penyembelihan
Di dalam Islam, kaedah ini dibenarkan dengan syarat ia tidak mencederakan haiwan contohnya dengan memecahkan tengkorak dan tidak menyebabkan haiwan mati secara terus. Kaedah ini biasa dilakukan ke atas haiwan ternakan yang besar seperti lembu, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Muzakarah Khas yang bersidang pada tahun 2005 telah memutuskan hukum sebagaimana di bawah:
1. Kaedah stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) yang menyebabkan kematian haiwan adalah tidak dibenarkan dan jatuh hukum haram. Ini kerana kaedah penetrative captive bolt biasanya akan memecahkan tengkorak haiwan dengan tusukan alat yang digunakan.
2. Kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) dibenarkan berdasarkan syarat-syarat di bawah:
– Jenis kejutan stunner yang digunakan adalah di kepala sahaja.
– Paras arus elektrik hendaklah sentiasa dalam kawalan, iaitu tidak boleh melebihi had antara 0.75 ampere untuk kambing dan 2.0 ampere untuk lembu.
– Aliran elektrik hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam saat.
– Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
3. Kaedah Waterbath Stunning (poultry)
Kaedah ini dibenarkan dalam Islam dan biasa digunakan ke atas haiwan kecil seperti ayam atau itik. Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi ialah:
– Perlu memastikan ayam dan itik tidak mati melalui kawalan arus elektrik.
– Proses kaedah kejutan elektrik ini hendaklah dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
4. Dadah Dan Karbon Dioksida
Hukum menggunakan dadah dan karbon dioksida adalah harus dengan syarat ia tidak menyeksa dan mematikan haiwan sembelihan.
Mengapa Stunning Dibenarkan
Ia dibenarkan kerana beberapa sebab:
1. Kaedah stunning dapat memudah dan mempercepatkan proses penyembelihan. Ia juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan dan pengeluaran daging halal dalam pasaran.
2. Kaedah ini dapat meminimakan kecederaan ke atas haiwan, sekaligus meningkatkan mutu daging yang disembelih.
3. Mengelakkan haiwan daripada diseksa atau dipengsankan dengan cara yang lebih berat selain stunning.
Ketahui Operasi Penyembelihan Ayam Di Kilang
Ayam-ayam yang akan disembelih dalam skala yang besar akan dibawa daripada pusat penternakan ke kilang dan kakinya digantung (diikat pada tali sawat yang bergerak secara automatik).
Ayam akan melalui proses mandian kejutan elektrik sebelum disembelih. Jakim menetapkan kuasa kejutan antara 2.5 hingga 10.
Tukang sembelih yang beragama Islam dan terlatih akan menyembelih ayam yang lalu di hadapannya menggunakan pisau tajam. Ayam kemudian akan dibiarkan selama beberapa minit sebelum dicelur bagi memastikan ayam mati dan darah sepenuhnya keluar.
Pada waktu ini, seorang pekerja akan memeriksa leher ayam untuk memastikan bahawa urat halkum dan mari’ telah dipotong dengan sempurna. Jika ayam didapati tidak dipotong dengan sempurna, maka ayam tersebut akan diasingkan dan tidak akan dijual kerana tidak halal.
Seterusnya ayam yang disembelih dengan sempurna tadi akan terus bergerak untuk dimasukkan ke dalam bekas air panas untuk memudahkan proses mencabut bulu. Tali sawat juga ditetapkan untuk bergerak pada kadar kelajuan dan jarak yang betul.
Hal ini penting supaya ayam tadi telah betul-betul mati sebelum dimasukkan ke dalam air panas (bukan mati kerana dicelur). Suhu air ditetapkan antara 50 hingga 60 darjah Celsius.
Selepas itu ayam-ayam tersebut akan diperiksa sekali lagi keadaannya sama ada normal atau tidak, contohnya lebam, patah atau terdapat kecacatan yang dikhuatiri kerana penyakit yang boleh membahayakan pengguna.
Semoga dengan informasi ini dapat menjelaskan tanda tanya dan juga persoalan yang ada berkaitan prosedur penyembelihan haiwan di Malaysia.
“…Apabila kamu menyembelih haiwan, sembelihlah dengan cara yang baik, maka hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya (dengan mempercepatkan) sembelihan.” (HR. Muslim)
Rujukan:
Teknologi Penyembelihan Untuk Industri Halal Di Malaysia
No comments: